Jangan pertikai, hormati kuota Bumiputera!

DATUK RAZALI IDRIS
DATUK RAZALI IDRIS
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bersatu Terengganu menyokong penuh pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat kepada pelajar Bumiputera bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, matlamat asal penubuhan program itu sendiri adalah bagi membantu pelajar Bumiputera di negara ini.

Justeru katanya, kaum bukan Bumiputera diminta untuk menghormati dasar yang dibuat dan tidak ‘masuk campur’ dengan menuntut lebih daripada itu.

“Matlamat asal program matrikulasi itu sendiri bagi membangunkan potensi pelajar bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Kalau kita tak pertahankan kuota 90 peratus ini, kita bimbang masih banyak lagi keciciran anak Bumiputera di negara ini. Bersatu sendiri parti yang berteraskan Bumiputera, akan memastikan hak dan agenda Bumiputera terus dipertahankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Razali, beliau yakin pihak Kementerian Pendidikan akan dapat menyelesaikan dengan cara baik, isu pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berketurunan India yang gagal mengikuti Program Matrikulasi, sebagaimana dilaporkan.

Katanya, semua pihak juga perlu akur dengan dasar kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40.

“Sebagaimana Kementerian Pendidikan menjelaskan tawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam program matrikulasi adalah inisiatif ‘one-off’ bagi 2018, kita harap ia terus kekal begitu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyokong usaha kementerian untuk meningkatkan imej dan mutu Kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Jelasnya, ia adalah alternatif terbaik kepada pelajar cemerlang SPM untuk melanjutkan pelajaran, dengan mengikuti pengajian prauniversiti selain program Matrikulasi KPM.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuota bukan Bumiputera ke matrikulasi bersifat one-off: Menteri