495 Pusat Tahfiz berdepan risiko bahaya kebakaran - Zuraida

Zuraida Kamaruddin - Foto ZAHID IZZANI
Zuraida Kamaruddin - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 495 buah daripada 1,267 keseluruhan pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara dikategorikan berdepan risiko bahaya kebakaran, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata antara aspek tidak dipatuhi pusat tahfiz itu ialah jumlah pelajar yang sesak di asrama atau susun atur perabot menghalang laluan keluar dan menyukarkan operasi menyelamat, jika berlaku kebakaran.

"Mereka ini diberikan tempoh selama tiga bulan untuk melakukan penambahbaikan sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan kali kedua.

"Pemeriksaan secara berkala juga akan dilakukan ke atas semua pusat tahfiz supaya aspek keselamatan sentiasa dipatuhi dan untuk melihat jika ada keperluan penambahbaikan dilakukan dalam aspek keselamatan pelajar," katanya.

Zuraida berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini, yang disertai Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohammad.

Mengambil contoh di Pahang, Zuraida berkata pemeriksaan terhadap 137 pusat tahfiz berdaftar yang diperiksa pada Oktober hingga Mac lalu, hanya 86 premis mematuhi piawaian keselamatan kebakaran.

"Kita berharap pusat tahfiz tidak berdaftar untuk tampil ke hadapan supaya bomba boleh membuat pemeriksaan bagi mengelak insiden kebakaran yang melibatkan pusat tahfiz sebelum ini berulang.

"Ia juga membolehkan pusat tahfiz itu mewujudkan sukarelawan bomba dikenali sebagai skuad bomba bagi mereka mengikuti latihan kemahiran asas semasa berlaku situasi tidak diingini, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zuraida memaklumkan statistik JBPM setakat ini, menunjukkan 314 skuad bomba ditubuhkan di pusat tahfiz seluruh negara dengan keanggotaan 3,844 orang.

Di Pahang, 64 pusat tahfiz memiliki skuad bomba dengan anggota seramai 1,420 orang.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 15 syarikat yang membantu operasi memadam kebakaran hutan gambut seluas 60 hektar di kawasan perindustrian Gebeng di sini, berlarutan selama enam hari bermula 25 Februari lalu.

Antara syarikat itu ialah FPG Oleochemicals Sdn Bhd; BASF Petronas Chemical (M) Sdn Bhd; Lynas (M) Sdn Bhd; Shell (M) Trading Sdn Bhd; Kaneka (M) Sdn Bhd; Bredero Shaw (M) Sdn Bhd dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd. - Bernama