Perubahan MB, Exco tidak lemahkan kerajaan

Hong Pin (kiri) menyerahkan nota serah terima tugas kepada Exco Kerajaan Tempatan negeri yang baharu, Tan Cheng Choon di pejabatnya, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - ADUN Skudai, Tan Hong Pin menyifatkan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri melibatkan jawatan Menteri Besar dan barisan Exco kali ini bukan keputusan yang boleh melemahkan kerajaan.

Sebaliknya, katanya keputusan penstrukturan semula yang dibuat itu adalah proses peralihan kecil dalam memantapkan sistem pentadbiran dan urus kerja dilaksanakan kerajaan negeri.

Perkara itu juga jelas mempengaruhi Setiausaha DAP Johor berkenaan yang mana telah menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan berlapang dada mengenai penggugurannya sebagai Exco Kerajaan Negeri sebelum ini.

"Saya menekankan bahawa pengumuman Menteri Besar Johor itu (lantikan Exco baharu) bukanlah pengguguran melemahkan sebaliknya peralihan kecil kepada yang lebih baik.

"Justeru, saya berharap rombakan ini bakal memberi impak positif kepada agenda reformasi yang telah kita gagaskan kepada pentadbiran dan rakyat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hong Pin berkata, proses rombakan dilaksanakan itu juga tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

"Walaupun begini, saya akan terus berperanan mendokong agenda reformasi yang perlu dibawa PH terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

"Pengumuman ini juga ibarat sireh pulang ke gagang kepada saya untuk terus komited berkhidmat dan meneraju suara rakyat di DUN Skudai. Saya juga akan memainkan peranan semak imbang yang aktif di barisan penyokong kerajaan (backbencher) dalam Dewan Negeri Johor selepas ini," katanya.

Untuk rekod, sepanjang wakil rakyat berkenaan memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri selama kira-kira 11 bulan sebelum ini, beberapa inisiatif baharu telah berjaya dilaksanakan.

Antaranya, beliau telah membentangkan idea bagi menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Johor Bersih sebagai usaha memastikan negeri ini bebas daripada pembuangan sisa secara haram.

Difahamkan, insiatif terbabit dilakukan sebagai langkah tindak balas susulan isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, bulan lalu.

Hong Pin juga memainkan peranan besar dalam menekankan agenda ketelusan Pihak Kerajaan Tempatan (PBT) dengan menggerakkan sistem pendigitalan sistem 'ePBT' di seluruh negeri.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia