Cikgu sekolah memandu ditangkap tidur, hisap rokok

Cikgu tidur antara kesalahan yang dikesan JPJ. Gambar bawah: Cikgu yang menghisap rokok ketika mengajar juga antara kesalahan yang dikesan JPJ.
A
A

KLANG - Cikgu pusat memandu menghisap rokok, tidak memakai tali pinggang keledar selain nyenyak tidur ketika pelatih belajar memandu kereta, itu antara kesalahan yang dilakukan oleh tenaga pengajar sebuah institut memandu (IM) di Klang dan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi khas, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Zamakhshari Hanipah berkata, dalam operasi selama empat jam, 14 notis dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan tenaga pengajar tidak beretika.

"Empat notis dikeluarkan kepada cikgu yang membiarkan calon atau pelatih memandu bersendirian serta.

"Baki tiga lagi notis melibatkan insurans kereta, cukai kenderaan dan lesen belajar memandu tamat tempoh," katanya pada sidang media selepas Ops Khas di IM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perlesenan Pemandu JPJ, Rizal Zaidi Mat Rawi.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Zamakhshari Hanipah (kanan) bersama Pengarah Perlesenan Pemandu JPJ, Rizal Zaidi Mat Rawi menunjukkan kereta yang disita JPJ kerana cukai jalan tamat tempoh.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Zamakhshari Hanipah (kanan) bersama Pengarah Perlesenan Pemandu JPJ, Rizal Zaidi Mat Rawi menunjukkan kereta yang disita JPJ kerana cukai jalan tamat tempoh.

Zamakhshari berkata, kompaun telah dikeluarkan dan permit mengajar cikgu yang terlibat juga boleh dibatalkan JPJ.

"Penggredan IM yang terlibat juga boleh terjejas akibat kesalahan-kesalahan yang dilakukan itu.

"Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kualiti penyampaian dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

"Dalam operasi ini, JPJ menempatkan 12 ke 25 anggota dan pegawai termasuk mereka yang berpakaian preman," katanya.

Zamakhshari berkata, operasi khas ini dilaksanakan secara berkala sepanjang tahun.

"Harapan kita melalui operasi ini, IM dapat melahirkan pemandu yang berhemah sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Terdapat sebanyak 226 IM di seluruh negara dan 53 lagi IM masih belum beroperasi," katanya lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia