Pindaan akta beri kuasa kepada Orang Asli lantik atau pecat Tok Batin

 Waythamoorthy
Waythamoorthy
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menerima baik cadangan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi membolehkan masyarakat Orang Asli mempunyai kuasa mutlak dalam melantik dan memecat Tok Batin tanpa campur tangan menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berkata, ia merupakan antara cadangan yang dibangkitkan di bawah resolusi kepimpinan dalam Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Katanya, masyarakat Orang Asli melihat kuasa menteri dalam pelantikan dan pemecatan ketua masyarakat itu tidak bersesuaian pada masa kini seperti yang digariskan di bawah Seksyen 16 (1) dan Seksyen 16 (2) Akta Orang Asli 1954 (Disemak 1974).

"Mereka melihat jika ada kesalahan yang memerlukan pemecatan Tok Batin, maka perkara itu perlu dilakukan oleh mereka sendiri.

"Saya terima baik cadangan itu dan akan mengemukakan agar satu pindaan dibuat untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli setelah menubuh Majlis Adat dan Resam," katanya kepada pemberita dalam sesi merumuskan hasil konvensyen yang bertemakan Memartabatkan Hak Orang Asli, di sini, hari ini.

Menurut Waythamoorthy, pihaknya juga akan melihat kepada beberapa pindaan lain di bawah Akta Orang Asli dan akan menyemak semula secara menyeluruh dengan mengambil pandangan Peguam Negara.

Katanya, cadangan untuk memperkasakan masyarakat Orang Asli serta pindaan akta itu akan dikemukakan kepada Kabinet dan dijangka dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Waythamoorthy turut memaklumkan bahawa seramai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat Orang Asli (Tok Batin), kumpulan profesional, belia dan wanita Orang Asli, ahli akademik, dan badan bukan kerajaan telah membangkitkan penubuhan Majlis Adat dan Resam seperti di Sarawak, serta perkahwinan, penceraian dan agama tradisi.

Artikel Berkaitan:

"Mereka inginkan kuasa untuk menentukan agama asal mereka tanpa campur tangan oleh mana-mana pihak serta turut mahu agama tradisi Orang Asli diberi pengiktirafan.

"Saya akan membuat saranan supaya agama rasmi Orang Asli turut diiktiraf dan ada wakil dilantik dalam Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama," katanya, yang menjaga portofolio Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional.

Beliau berkata Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 telah mencapai sebanyak 133 resolusi daripada tujuh perkara utama yang dibincangkan untuk diguna pakai dalam penyediaan menyeluruh Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.

Tujuh perkara itu adalah tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.

Konvensyen sehari itu diadakan bagi mengupas hak-hak masyarakat Orang Asli dalam menentukan hala tuju baharu mengikut acuan dan keperluan masyarakat itu sendiri, yang mempunyai 18 suku kaum supaya komuniti itu dapat dibangunkan bersama-sama dengan arus pembangunan negara. - Bernama