Majikan percetakan didenda RM4,000

A
A

PARIT BUNTAR - Seorang majikan yang menjalankan perusahaan percetakan diarah membayar denda RM4,000 selepas mengaku bersalah gagal menjalankan penaksiran risiko bahan kimia berbahaya kepada kesihatan di Mahkamah Majistret Parit Buntar, hari ini.

Muhammad Ali S Mohamad Ibrahim, dituduh di bawah Peraturan 9(1), Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Muhammad Ali sebagai majikan di Percetakan PMI mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Ain Mustapa dan telah dijatuhkan hukuman denda RM4,000.00 atau satu bulan penjara jika gagal bayar.

Mengikut kertas pertuduhan Muhammad Ali didapati menjalankan perusahaan percetakan, mempunyai mesin pencetak serta menggunakan bahan kimia cecair iaitu 'thinner'.

Pemeriksaan oleh pegawai JKKP Perak pada 17 Januari 2019 mendapati dia tidak menjalankan penaksiran risiko bahan kimia berbahaya kepada kesihatan untuk 'thinner' berkenaan yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan iaitu 'toluene', 'acetone', 'methanol', 'dicholoromethane', 'isopropyl acetate' dan '1-methoxy-2-propanol'.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Hussin.