Siasat segera laporan harga silinder LPG terlalu tinggi di Bario

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menjalankan siasatan segera berhubung laporan bahawa penduduk di Bario, Sarawak, yang masih perlu membayar harga terlalu tinggi bagi mendapatkan silinder gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata penduduk di kawasan pedalaman di Sarawak, termasuk Bario, tidak perlu membayar RM65 bagi setiap silinder LPG kerana kerajaan sudah memberi kontrak subsidi pengangkutan kepada syarikat berkaitan untuk mengangkut LPG, diesel, RON 95, gula, beras, tepung dan minyak masak.

“Selepas membaca laporan disiarkan akhbar tempatan semalam bahawa penduduk di Bario masih membayar RM65 bagi setiap tong LPG, saya mengarahkan pegawai kementerian untuk menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di bawah program kontrak subsidi pengangkutan berkuat kuasa 1 April, beliau berkata kementerian akan membayar kepada syarikat pengangkutan dilantik semua kos pengangkutan bagi membekalkan tujuh barangan keperluan itu kepada kawasan luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata mengikut kontrak subsidi tersebut, satu silinder LPG seberat 14kg sepatutnya dijual pada harga RM26.60, sama harga seperti djual di kawasan bandar.

Chong berkata pada 2019, sejumlah RM140 juta diperuntukkan di bawah program subsidi pengangkutan, dengan kira-kira RM80 juta disediakan bagi Sarawak.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan sikap sedemikian dalam menjalankan tanggungjawab berhubung kontrak subsidi diberikan oleh kementerian itu untuk manfaat rakyat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat pengangkutan yang dilantik di Bario itu jika laporan tersebut didapati benar,” katanya.-Bernama

Artikel Berkaitan: