Budak 3 tahun maut terjatuh pangsapuri TLDM

No Image Caption
A
A
A

LUMUT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri kediaman keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Nur Maizatul Alya Abdullah, anak kepada anggota TLDM, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera.

Pejabat Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu disedari seorang saksi yang mendengar bunyi dentuman kuat dari balkoni rumahnya di tingkat 3 pangsapuri sama.

"Saksi kemudiannya ternampak seorang kanak-kanak tertiarap di lantai kaki lima bangunan itu.

"Kanak-kanak tersebut kemudiannya dibawa ke wad kecemasan Hospital Angkatan Tentera bagi rawatan kecemasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia," katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, ketika kejadian bapa mangsa sedang menjalani kursus di KD Pelandok.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat," katanya.

Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Roslan Mohd Yunus menzahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Kita ingatkan kepada semua ibu bapa agar lebih prihatin dan melaksanakan pemantauan dengan mementingkan aspek keselamatan anak-anak ketika berada di rumah," katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung halaman keluarga di Bandar Jengka, Pahang.

Pada 2015 lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris maut apabila terjatuh dari tingkat empat pangsapuri berkenaan.