Pengurus syarikat rugi RM1.6 juta ditipu sindiket 'Love Scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengurus syarikat kenderaan kerugian RM1.6 juta selepas diperdaya sindiket ‘Love Scam' didalangi warga asing dari Afrika.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata mangsa wanita berusia 62 tahun itu mendakwa menjalinkan hubungan rapat dengan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook sejak enam bulan lepas.

"Sepanjang perkenalan, suspek meminta mangsa membuat pembayaran ke dalam beberapa akaun milik warga tempatan untuk urusan membantu suspek yang mengalami kerugian dalam perniagaan.

"Suspek kemudian memberitahu mangsa kawannya bernama Calvin ditangkap pihak Kastam Diraja Malaysia bersama sebuah beg berisi wang dolar Amerika Syarikat untuk diberikan kepada mangsa dan meminta mangsa membuat beberapa bayaran kononnya kepada pihak kastam untuk melepaskan kawannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata mangsa berjumpa Calvin di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara itu dan membuat pembayaran secara berperingkat bagi mendapatkan wang dolar US yang dijanjikan.

Beliau berkata setelah merasakan dirinya ditipu, wanita berkenaan membuat laporan polis pada 14 April lepas.

"Berdasarkan maklumat dan risikan, pihak polis berjaya menahan tiga suspek berusia 34 hingga 36 tahun, seorang rakyat Ghana dan dua warga Republik Guinea, dengan salah seorang suspek yang menyamar sebagai Calvin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 17 April lepas.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah kereta mewah, beberapa utas jam tangan mewah, komputer riba serta telefon bimbit. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM200,000," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.- Bernama