JKM cari waris tiga kanak-kanak

Gambar atas: Ehsan. Gambar bawah: Muhammad Ammar (kiri) Hussin
Gambar atas: Ehsan. Gambar bawah: Muhammad Ammar (kiri) Hussin
A
A
A

KLANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada tiga kanak-kanak bagi pengurusan proses penjagaan dan pendaftaran dokumen pengenalan diri.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Noor Adelin Nordin berkata, kes pertama iaitu kanak-kanak bernama Muhammad Ammar Bin Abdullah, 10, ditinggalkan di tepi sebuah jalan berhampiran Jalan Zapin, Bandar Bukit Raja.

Menurutnya, kanak-kanak ini ditempatkan di institusi Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Seremban sejak 18 Februari 2009.

"Kanak-kanak ini tidak pernah dilawat oleh sesiapa dan kanak-kanak ini mengalami masalah sumbing dan juling," katanya.

Beliau berkata, bagi kes kedua, Hussin, 9, diserahkan oleh seorang lelaki ketika kanak-kanak ini masih bayi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri kepada seorang wanita di Taman Ros Klang.

"Kanak-kanak ini diserahkan oleh seorang warga emas dikenali sebagai Opah berusia 81 tahun kepada pihak JKM disebabkan faktor usia dan tidak berupaya untuk menjaga kanak-kanak ini.

"Kanak-kanak ini merupakan kanak-kanak yang normal dan diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Klang untuk ditempatkan sementara di bawah jagaan Orang yang Layak Dan Sesuai untuk tempoh sementara," ujarnya.

Adelin berkata, bagi kes ketiga iaitu Ehsan, 9, dipercayai ditinggalkan oleh ibu kandungnya di Wad Kecemasan HTAR pada Oktober, 2015.

Artikel Berkaitan:

"Ibu kandung kanak-kanak ini telah memberi alasan untuk ke tandas dan meminta seorang wanita lain untuk menjaga sementara, namun setelah sejam ibu kandung anak ini tidak muncul dan satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Perubatan.

"Kanak-kanak ini disahkan menghadapi Hidrocephalus dan dikategorikan di bawah Kanak-Kanak Kurang Upaya," katanya.

Tambahnya lagi, kini, kanak-kanak tersebut diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Klang ditempatkan di Taman Sinar Harapan Jitra Kedah dan tidak ada sesiapa yang melawat kanak-kanak ini sejak diperintahkan masuk ke institusi berkenaan.

"Sehubungan itu, pihak kami memohon jasa baik bagi orang ramai yang mengenali dan dapat mengesan waris kanak-kanak berkenaan dapat menghubungi pihak kami," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai JKM di talian 03-33413703 atau 03-334103821.