Ku Li ramal Malaysia alami deflasi

Tengku Razaleigh membuat cabutan nombor bertuah pada pra-pelancaran Festival Galas 2019 di Gua Musang.
Tengku Razaleigh membuat cabutan nombor bertuah pada pra-pelancaran Festival Galas 2019 di Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Malaysia dijangka berdepan deflasi yang lebih teruk dan sukar dipulihkan jika kerajaan sekarang tidak mengambil langkah drastik dalam pemulihan ekonomi, demikian menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan melahirkan kebimbangan satu situasi mungkin akan berlaku secara tidak terkawal dan memberi kesan kepada negara khususnya rakyat.

Ini berikutan situasi sekarang yang mana rakyat semakin tertekan dengan bilangan pengangguran yang tinggi, hilang pekerjaan, kos sara hidup meningkat, penutupan kedai-kedai dan syarikat serta kejatuhan nilai mata wang.

"Perkara ini turut diakui pakar ekonomi, negara bakal berdepan deflasi. Bila situasi ini berlaku, apa jua tindakan selepas ini tidak akan membantu terutamanya dalam pertumbuhan ekonomi.

"Di Jepun, mereka juga berdepan dengan situasi ini dalam tempoh belasan tahun, namun ia tidak mengapa kerana negara mereka kaya. Situasi mereka tak sama dengan kita.

"Saya bimbang ia akan menjejaskan keselamatan negara kerana ekonomi dunia juga tidak meyakinkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pra Pelancaran Festival Galas 2019 di Dataran Kesedar Putra, Bandar Baru, di sini.

Turut hadir, ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.

Artikel Berkaitan:

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang juga menyifatkan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh hampir setahun ini tidak memberi impak yang baik kepada rakyat.

Beliau berkata, ketiga-tiga PRK yang berlangsung selepas PRU14, menyaksikan bahawa rakyat kecewa dengan pentadbiran baharu kerajaan.

"Terlalu banyak berpolitik ditambah dengan polemik macam-macam, rakyat jadi bingung dan merana.

"Ada rakyat yang menzahirkan kekecewaan menerusi PRK kerana janji tidak ditunai, sepatutnya kerajaan perlu sedar itu signal dari rakyat atas kegagalan mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi berkembang sederhana pada 2019, kesan faktor luaran

Awal April lalu Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada 2019 susulan faktor luaran yang mencabar.

Beliau berkata antara faktor itu adalah penutupan sementara operasi pentadbiran Amerika Syarikat yang paling lama dalam sejarahnya iaitu selama 35 hari mulai 22 Disember 2018 sehingga 25 Januari 2019 yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut dan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi dunia bagi suku pertama 2019.

"Selain itu ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat, kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum berakhir turut memberi kesan kepada ekonomi dunia dan seterusnya kepada ekonomi negara,” katanya.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2018 yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 akan disokong oleh pertumbuhan domestik terutamanya permintaan sektor swasta yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Penggunaan swasta disasarkan berkembang 6.6 peratus manakala pelaburan swasta pula dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2019," katanya.

Dalam masa sama beliau berkata, kesemua sektor ekonomi utama negara turut disasar mencatat perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan dijangka meningkat 5.7 peratus dan perkilangan pula 4.8 peratus.

Kedua-dua sektor berkenaan juga kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 79 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh dan berkembang sekitar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus pada 2019," katanya.