Melaka kenal pasti laluan selamat belon udara panas

Penerbangan percubaan (test flight) belon udara panas yang diadakan dari Stadium Hang Jebat ke arah Klebang, Sabtu lalu. (Gambar kecil: Muhamad Jailani )
Penerbangan percubaan (test flight) belon udara panas yang diadakan dari Stadium Hang Jebat ke arah Klebang, Sabtu lalu. (Gambar kecil: Muhamad Jailani )
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri bersedia memberi sokongan kepada pihak yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan belon udara panas di negeri ini.

Namun, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, pihak syarikat terbabit, Myballoon Adventure Sdn Bhd (MBA) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam terlebih dahulu.

Menurutnya, ia bagi mendapatkan laluan sesuai dan selamat tanpa mengganggu aktiviti penerbangan lain di negeri ini terutama di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam.

"Kita minta pihak swasta terlibat untuk memohon terlebih dahulu dengan Jabatan Penerbangan Awam kerana negeri ini juga menjadi laluan penerbangan bagi beberapa syarikat penerbangan seperti Malindo Air dan Air Asia.

"Jika tiada masalah, kita sedia beri sokongan dan perkhidmatan belon udara panas ini bakal menjadi satu lagi produk tarikan pelancong ke negeri ini di samping dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran 20 juta orang pelancong ke Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2019," katanya.

Tambah Muhamad Jailani, Sabtu lalu, syarikat terbabit telah pun membuat penerbangan percubaan (test flight) untuk menentukan kesesuaian kawasan perkhidmatan belon udara panas demi keselamatan penumpang-penumpang dan ianya ternyata berjaya.

"Ia bermula dari Stadium Hang Jebat menuju ke arah Klebang yang terdapat banyak kawasan lapang untuk belon mendarat dengan selamat.

"Kita percaya, keunikan Bandar Melaka dan lokasi yang tidak jauh dari Kuala Lumpur dijangka akan menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati perkhidmatan ini," katanya.

Artikel Berkaitan: