Amanah kutuk serangan Sri Lanka

Raja Kamarul
Raja Kamarul
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Amanah mengutuk sekeras kerasnya insiden pengeboman yang berlaku di Sri Lanka.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pembunuhan serentak di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka itu adalah satu lagi peristiwa hitam dalam siri keganasan yang menyasarkan kelompok agama tertentu.

"Pembunuhan kejam di rumah ibadat adalah satu perbuatan terkutuk dan tidak boleh dimaafkan.

"Tiada bangsa, agama atau kepercayaan boleh menerima perbuatan kejam sedemikian rupa," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebelum ini dunia dikejutkan dengan tragedi pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam di Christchurch, New Zealand dan peristiwa seumpama ini kembali berulang serta menimbulkan kebimbangan semua masyarakat dunia.

"Trend ini amat menggerunkan, tak kira agama dan bangsa dan ia dikhuatiri menjadi ancaman pada masa akan datang,"

Dalam ada itu, beliau menyeru semua agama, bangsa dan negara untuk bersatu menghadapi ancaman baharu ini.

"Malaysia sebagai negara berbilang agama dan kaum mesti ke hadapan mendahului negara lain dalam menangani isu sebegini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya media siber tidak disalah guna untuk menyebar kebencian dan merancang keganasan.

"Insiden di New Zealand dan Sri Lanka telah menunjukkan kepada kita peranan media siber di mana kerajaan terpaksa mengawal media itu selepas tercetusnya peristiwa hitam tersebut.

"Pembunuhan kejam melalui keganasan ini tidak mengenal agama dan bangsa. Keganasan hari ini juga tidak lagi menghormati dan mengenali rumah ibadat," katanya.

Angka kematian ekoran beberapa siri letupan bom yang menyasarkan gereja dan hotel terkemuka di Sri Lanka semalam, kini meningkat kepada 290 orang.