RCI Wang Kelian: Pendengaran awam bersambung hingga Khamis

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis dilanjutkan esok sehingga Khamis ini (25 April).

Ia akan diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari 9.30 pagi hingga 5 petang, seperti sesi sebelum ini yang diadakan pada 17, 18 dan 22 April (hari ini).

"RCI ingin memohon mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian supaya berhubung dengan pihak urus setia melalui laman web KDN,” kata RCI dalam kenyataan hari ini.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempengerusikan RCI yang dianggotai tujuh anggota dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sebagai Timbalan Pengerusi.

Lima anggota RCI ialah bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noobahri Baharuddin; Tan Sri Razali Ismail yang baru meletak jawatan sebagai Pengerusi Suhakam; bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abd Rahman; bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI, yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas, akan mengemukakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong selain mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang diambil oleh kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: