Mujahid, Hadi kutuk serangan di Sri Lanka

Anggota keselamatan berkawal di sebuah gereja, semalam. - Foto Getty Images
Anggota keselamatan berkawal di sebuah gereja, semalam. - Foto Getty Images
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengutuk sekeras-kerasnya insiden keganasan di Sri Lanka ketika penganut Kristian merayakan sambutan perayaan Easter, semalam.

Katanya tindakan menceroboh atau merosakkan mana-mana rumah ibadat bukan sahaja membangkitkan kemarahan tetapi turut menyebabkan kebencian antara agama.

Beliau berkata Islam turut menolak semua bentuk keganasan yang melibatkan orang awam.

"Takziah saya ucapkan kepada seluruh mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi di Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.

Terdahulu, pada Ahad, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian tersebut..

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan insiden itu suatu tindakan terkutuk melampaui batas kemanusiaan, malah bertentangan dengan ajaran agama Islam yang menuntut umatnya menghormati hak penganut agama lain dan melarang daripada merosakkan rumah ibadat walaupun ketika dalam peperangan.

"Pas menegaskan toleransi antara agama amat penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara, dan Pas menzahirkan solidariti kepada Sri Lanka untuk mengembalikan keamanan setelah berhadapan dengan serangan terkutuk itu," katanya dalam kenyataan. - Bernama

Artikel Berkaitan: