'Jangan bina mahligai atas tangisan seorang isteri'

Paparan skrin Instagram Ustaz Ebit Lew.
Paparan skrin Instagram Ustaz Ebit Lew.
A
A
A

KECOH di media sosial kisah seorang peserta rancangan Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi yang menceraikan isterinya ketika hamil untuk berkahwin lain.

Kisah tular ini turut menarik perhatian pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Menerusi Instagram (IG) miliknya, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kesedihan dan juga pelbagai pesanan untuk renungan bersama.

"Sedih pilu menangis sangat bila terbaca kisah sesiapa ceraikan isteri sedang mengandung untuk berkahwin lain.

"Cuba bayangkan kita diuji mak ayah kita bercerai kini. Apa perasaan kita. Jika kita dah tua ini rasa begitu. Bagaimana satu hari nanti anak yang tak tahu apa-apa itu nak faham," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PU pilih janda, cerai isteri sedang hamil

Katanya, hadiah paling mahal ibu bapa kepada anak-anaknya ialah cara didikan agama dan contoh kasih sayang kedua ibu bapanya.

Dalam pada itu, Ebit turut berdoa agar ALLAH menyelamatkan rumah tangga pasangan ini dan rumah tangga kita semua.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah bina mahligai bahagia atas tangisan air mata isteri yang kita nikahi dan cintai serta tangisan anak-anak," katanya.

Menurut Ebit lagi, sewaktu beliau turun berdakwah di jalanan, kelihatan wajah sedih anak-anak ini yang datang dari keluarga yang bercerai-berai.

"Buat yang telah diuji terus kuat ya. Kita ada ALLAH. Jadikanlah musibah itu buat kita dekat dengan ALLAH. Semoga ALLAH selamatkan kita semua dari hati yang mati. Hidupkan jiwa kami semua dengan takwa. Doakan yang baik untuk semua," tulisnya.

Tambah Ebit, untuk ingatan diri sendiri dan semua, isteri merupakan amanah ALLAH untuk dipimpin dan bimbing ke syurga.

"Kita mulia dan manusia sebaik-baik kejadian. Kita sayang kerana ALLAH, kalau banyak kekurangan kita tampung dan bina sama-sama untuk reda ALLAH. Lihat isteri, kenangkanlah ibu kita, kenangkan anak perempuan kita, kenangkanlah," tulisnya lagi menerusi hantaran bersama video itu.