Pengurus syarikat rugi hampir RM1.6 juta angkara Love Scam

Baharudin(dua,kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas pihak polis susulan tangkapan ke atas suspek pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.
Baharudin(dua,kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas pihak polis susulan tangkapan ke atas suspek pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara terperangkap dengan pujuk rayu lelaki warga asing, seorang pengurus sebuah syarikat di sini kerugian hampir RM1.6 juta akibat ditipu suspek.

Namun, hasrat suspek untuk berjoli hasil menipu wanita berkenaan tidak bertahan lama apabila suspek bersama dua lagi rakannya berjaya ditahan polis di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima laporan berhubung seorang wanita tempatan ditipu sindiket melibatkan warga asing.

"Siasatan yang dijalankan mendapati, mangsa yang berumur 62 tahun ini mengenali suspek yang mendakwa dirinya sebagai warga Amerika Syarikat melalui laman sosial Facebook dan telah menjalin hubungan cinta di alam maya.

"Dalam perkenalan tersebut, suspek kemudiannya memperdaya mangsa dengan meminta mangsa membuat bayaran ke dalam akaun milik warga tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini tadi.

Katanya, suspek bertindak memperdaya mangsa kononnya dirinya mengalami kerugian dalam urusan perniagaan.

"Kemudian, mangsa juga diberitahu oleh suspek bahawa salah seorang rakan suspek bernama Calvin telah ditangkap oleh pihak kastam bersama sebuah beg berisi wang tunai AS Dollar untuk diberikan kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudiannya sekali lagi meminta mangsa membuat bayaran kononnya untuk dibayar bagi melepaskan Calvin," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian berjumpa dengan mangsa di sebuah hotel di Kuala Lumpur kononnya untuk membincangkan mengenai perkara ini.

"Mangsa kemudiannya telah membuat bayaran secara berperingkat kepada suspek bagi mendapatkan wang tunai AS Dollar yang dijanjikan suspek kepada mangsa sehingga keseluruhannya berjumlah RM1.6 juta.

"Curiga dengan tindakan suspek, mangsa kemudiannya membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu apabila tidak mempunyai wang lagi untuk dibayar kepada suspek," katanya.

Baharudin berkata susulan kejadian berdasarkan maklumat dan risikan operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Shah Alam telah berjaya menahan tiga lelaki Afrika.

"Kesemua mereka berjaya ditahan berhampiran sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur. Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, dalam sidang media yang diadakan, Baharudin berkata polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM30,000 bersama sebuah kereta dan beberapa barangan lain.

"Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM200,000.

"Polis memandang serius berkenaan kes ini dan dan masa sama meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penipuan Love Scam dan Parcel Scam dan menasihati masyarakat agar tidak mudah percaya individu tidak dikenali," katanya.