'Malu Apa Bossku' ceriakan prosiding kes Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - " Ada tu, Malu Apa Bossku!," ujar saksi pendakwaan ke-10 iaitu Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru, Abu Talib Alias, ketika diminta membuat pengecaman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang berada di kandang tertuduh.

Abu Talib, 55, diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi untuk membuat pengecaman selepas menjawab soalannya pada sesi pemeriksaan utama hari ke-6 perbicaraan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Perkataan yang diucapkan secara bersahaja itu mencuit hati orang ramai yang berada di dalam galeri awam mahkamah menjadikan prosiding yang sebelum ini berlangsung serius bertukar ceria.

Sementara itu, dalam keterangannya Abu Talib mengakui UMNO bahagian itu menerima sekeping cek bernilai RM300,000 daripada presiden parti itu pada 2015.

Abu Talib berkata beliau menerima cek berkenaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias untuk urusan pentabiran parti itu.

"Pada hari Jumaat, saya terima panggilan daripada Allahyarham Datuk Azlin untuk datang ke pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya untuk mengambil cek sebelum memaklumkan kepada Ketua UMNO Bahagian untuk mendapatkan cek tersebut," katanya.

Menurutnya, beliau telah diberikan satu sampul putih sebelum mendapati tertulis RM300,000 atas nama Bahagian Johor Bahru dan kemudian memasukkan cek itu di Maybank, di Putrajaya pada hari sama.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi berkata, dana sebanyak RM300,000 itu digunakan pihaknya untuk pelbagai program dan aktiviti parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Dana itu digunakan untuk membantu 86 cawangan dalam UMNO bahagian Johor Bahru termasuk ketika bulan puasa, sumbangan kepada fakir miskin, bencana seperti ribut dan banjir," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa menerima wang daripada Presiden Parti untuk urusan UMNO bahagian adalah amalan kebiasaan.

Malah menurutnya, UMNO Bahagian itu membelanjakan antara RM500,000 hingga RM600,000 setahun untuk pelbagai aktiviti parti termasuk untuk program sumbangan kebajikan, sambutan hari raya, NGO, dan sebagainya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pada 2016, ketika menghampiri waktu berbuka puasa, beliau didatangi dua pegawai SPRM untuk mengambil keterangan.

"Pada hari tersebut bermula jam 9 malam hingga 2 pagi saya telah disoal siasat dua pegawai berkenaan," katanya.