Tujuh amalan yang membuatkan pahala terus mengalir

Sedekah antara amalan yang membuatkan pahala terus mengalir kepada kita meskipun kita sudah tiada lagi di dunia. -GAMBAR HIASAN.
Sedekah antara amalan yang membuatkan pahala terus mengalir kepada kita meskipun kita sudah tiada lagi di dunia. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

JIKA pahala itu kita boleh dilihat nilainya seperti mana nilai wang di bank, sudah tentu ramai yang berlumba-lumba untuk membuat amalan yang baik.

Ya, terlalu banyak amalan yang kita boleh lakukan untuk mendapatkan pahala.

Berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah, memberi orang makan dan banyak lagi.

Semuanya boleh jadi 'pelaburan' pahala kita untuk saham di akhirat nanti.

Namun, daripada banyak amalan yang boleh dilakukan itu, yang manakah boleh menjadi pengalir pahala kepada kita untuk menuju ke syurga ALLAH?

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya." (Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan hadis itu, ada tujuh amalan yang mampu memperindah laluan kita ke syurga iaitu:

1. Ilmu yang disebarluaskan

Artikel Berkaitan:

Amat besar rahmatnya bagi orang yang menyampaikan, menyebarkan dan mengajarkan ilmu dunia dan akhirat yang bermanfaat.

2. Anak soleh yang ditinggalkan

Pendidikan anak-anak seharusnya bermula sejak di dalam rahim ibu. Bacaan zikir, al-Quran, kata-kata yang baik dan amal soleh harus dilazimkan oleh ibu bapa sejak awal lagi kerana memiliki anak yang soleh banyak kelebihannya. Antaranya anak-anak itu boleh terus mengalirkan manfaat kepada ibu bapanya, mendoakan kita dan menutup aib kita.

3. Kitab-kitab keagamaan yang diwariskan

Barang siapa yang mewariskan buku-buku yang baik, maka, pahala berterusan akan diterima oleh si pemberi tersebut selagi mana ia ada dan dibaca.

4. Masjid yang dibina

Orang yang membina, mewakafkan dan mendermakan wang bagi pembinaan masjid akan dikurnikan pahala serta kedudukan di syurga.

Ia sebagaimana disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana ALLAH walau sekecil apa pun, maka, ALLAH akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

5. Rumah yang dibina untuk musafir

Rumah atau wakaf yang dibina untuk para musafir bagi memudahkan mereka datang berehat dan tidur sebentar. Ia bukan untuk tujuan maksiat. Di negara ini, antara contohnya adalah hentian rehat dan rawat (RnR).

6. Sungai yang dialirkan untuk kepentingan ramai

Mereka yang membantu mengalirkan alir bersih kepada manusia dan makhluk-makhluk ALLAH yang lain bakal memperoleh barakah selagi mana air itu diminum dan digunakan.

7. Harta yang disedekahkan

Antara manfaat sedekah adalah memanjangkan umur dan rezeki kita, kehidupan kita diberkati ALLAH SWT, dikurniakan kesenangan dan kelapangan jiwa serta pahala dan kebaikan yang berlipat ganda.

Mungkin ada amalan-amalan tersebut sukar dilakukan tetapi, kita boleh cuba sedaya yang mampu.

Jika tidak mampu dari segi material, barangkali, kita boleh didik anak-anak kita menjadi anak yang soleh agar mereka mengalirkan manfaat dan mendoakan kita tatkala kita sudah tiada lagi di dunia.

(Sumber: Fatin Nor Izzati)