Banduan lolos ditambah hukuman penjara

Tertuduh, Ahmad Faqis Ismail, 29, (tengah) dikawal ketat polis keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, selepas hukuman ditambah lebih lama akibat melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Khamis lalu.
A
A

KOTA BHARU - Dua daripada tiga banduan lelaki yang meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, di sini Khamis lalu ditambah hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Ahmad Faqis Ismail, 29, dihukum penjara setahun oleh Majistret, Kamarul Hasyime Rosli yang mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara 30 tahun dan sembilan sebatan yang sedang dijalani tertuduh kerana enam kesalahan samun sejak tahun 2012.

Manakala, tertuduh, Amireul Iqbal Muhamad, 25, pula dihukum penjara 20 bulan oleh Majistret Mohamad Izuddin Mohd Syukri yang diarah berkuat kuasa hari ini.

Amireul Iqbal pula sedang menjalani hukuman penjara 21 tahun dan 18 sebatan atas kesalahan rogol serta samun bermula pada tahun 2017.

Tertuduh, Amireul Iqbal Muhamad, 25, (kiri) turut dikawal ketat polis untuk dibawa semula ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini, selepas selesai dihukum atas kesalahan melarikan diri daripada penjara itu, Khamis lalu.
Tertuduh, Amireul Iqbal Muhamad, 25, (kiri) turut dikawal ketat polis untuk dibawa semula ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini, selepas selesai dihukum atas kesalahan melarikan diri daripada penjara itu, Khamis lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibuat secara berasingan itu, mereka didakwa dengan sengaja mengambil peluang meloloskan diri dari Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 11.26 malam pada 18 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Gayathri Sambath dan Muhammad Habibullah Mohammad Shah, manakala Ahmad Faqis diwakili peguam Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid.

Sementara seorang lagi rakan mereka berusia 24 tahun yang turut lolos bersama akan dituduh dalam masa terdekat.