Peruntukan tambahan RM4.4 juta untuk infrastruktur di Pahang

A
A
A

KUANTAN- Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.4 juta bagi pembangunan infrastruktur kemudahan asas di Pahang.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata peruntukan terbaru itu adalah tambahan kepada peruntukan sebanyak RM13.6 juta yang telah diluluskan pada awal tahun ini yang diberikan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

"Peruntukan tambahan ini adalah untuk penambahbaikan dan pembinaan projek baharu kemudahan infrastruktur yang dapat meningkatkan ekonomi pelancongan seperti pembinaan gerai dan tandas awam selain kemudahan rakyat.

"Ia juga melibatkan infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal dan kolam renang seperti yang ada di Bentong, kerana KPKT adalah pengerusi Majlis Keselamatan Aktiviti Air dan kami mahu lebih ramai anak-anak memiliki kemahiran berenang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Zuraida menambah peruntukan tambahan itu juga sebagai 'permulaan' kepada kerajaan Pahang untuk meningkatkan kemudahan asas dan mereka harus mencari jalan sendiri untuk kos penyelenggaraan infrastruktur tersebut untuk memastikannya dalam keadaan terbaik.

"Walaupun berbeza pendirian politik, kerajaan persekutuan tetap akan memberi peruntukan dan kemudahan sewajarnya kepada rakyat Pahang kerana isu ini adalah berkaitan dengan kesejahteraan mereka.

"Peruntukan RM4.4 juta itu juga merupakan peruntukan tambahan paling tinggi yang diluluskan dalam lawatan kerja saya ke setiap negeri sebelum ini," katanya.

Zuraida memaklumkan pada mesyuarat itu, Abd Rahim juga menyuarakan permohonan supaya kerajaan persekutuan dapat membantu dalam pembangunan perumahan mampu milik supaya lebih ramai golongan sederhana dan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini sebanyak 34 Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan peruntukan sebanyak RM437.4 juta telah diluluskan di Pahang, antaranya di daerah Maran, Bentong, Kuantan dan Temerloh.

Ini, menurut Zuraida melibatkan 27 projek melibatkan 3,668 unit rumah yang telah siap, dalam pembinaan (enam projek, 700 unit rumah) dan satu projek dalam perancangan yang melibatkan 500 unit rumah.