Tarik cadangan kemuka usul laporan audit MAPS

Chong Zhemin dari DAP (kanan) pada sidang media.
Chong Zhemin dari DAP (kanan) pada sidang media.
A
A
A

IPOH - ADUN Keranji, Chong Zhemin menarik semula cadangan untuk mengemukakan usul laporan audit dalaman khas Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Sidang DUN Perak, esok.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam yang akan melaksanakan pelan-pelan pemulihan bagi menyelamatkan kedudukan kewangan Perak Corporation Berhad (PCB).

"Hasrat kita mengemukakan usul ini adalah untuk meminta kerajaan pulihkan status kewangan dan menyelamatkan kedudukan PCB akibat masalah di MAPS.

"Bagaimanapun dengan jaminan dinyatakan itu, saya rasa hasrat untuk membuat usul sudah tidak perlu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Audit PCB berkata, rekod menunjukkan selain perlu menanggung kos operasi RM3.3 juta setiap bulan, Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) juga perlu menjelaskan bayaran utama berjumlah RM30 juta pada September setiap tahun.

"Asalnya hutang yang ditanggung ATP adalah RM280 juta, bayaran pertama RM30 juta sudah dijelaskan tahun lalu dan ada lagi baki RM240 juta.

"Dengan jaminan diberikan, tidak akan ada lagi kerisauan dan PCB boleh meneruskan operasi sebagai satu entiti," katanya.

Semalam, Ahmad Faizal memberi jaminan operasi MAPS akan diteruskan selepas beberapa model perniagaan diperkenalkan memberi kesan yang baik dan menjana pendapatan mencukupi untuk membayar gaji pekerja dan sebagainya.

Artikel Berkaitan: