Doktrin operasi UAV sedang dibangunkan ATM

Liew Chin Tong - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang membangunkan doktrin dan konsep operasi pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), agar pengoperasiannya dapat digunakan secara efektif dan berkesan dalam menjaga persempadanan daratan dan maritim negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata teknologi UAV didapati efektif berdasarkan daya ketahanan yang lama, jarak pengoperasian yang jauh, selain keupayaan dan kelebihan sensornya.

“ATM setuju dan mengakui kepentingan teknologi UAV pada masa sekarang dan masa hadapan sebagai salah satu strategi peperangan, di samping dapat meningkatkan keupayaan ATM bagi memantau sempadan daratan dan maritim negara.

“Buat masa ini, ATM telah pun mempunyai keupayaan UAV di dalam perkhidmatan bagi tujuan pengawasan, serta turut bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan pemetaan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Theodore Douglas Lind mengenai sama ada teknologi ‘drone’ akan diperkenalkan dan digunakan ATM pada masa sekarang dan masa hadapan sebagai satu strategi peperangan yang baharu supaya ATM dapat bersaing dengan angkatan tentera negara

Chin Tong berkata teknologi UAV juga akan digunakan sebagai salah satu elemen sistem pengawasan dengan jaringan aktiviti perisikan, pengawasan, pengesanan dan peninjauan (ISTAR) dalam ‘masa sebenar’ dan diintegrasi ke dalam sistem ‘Operasi Jaringan Berpusat’ (NCO) ATM yang kini sedang dibangunkan.

“Keupayaan ini dilihat sebagai kekuatan berganda bagi memantapkan lagi sistem pemantauan daratan dan juga ruang udara negara.

“ATM juga telah lama mengadakan idea untuk mengintegrasikan teknologi dalam pelbagai bidang dalam ATM... kementerian juga mengambil kira industri 4.0 termasuklah penggunaan dan pengoperasian UAV dan kecerdasan buatan... semua ini akan diambil kira dan dilaksanakan,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia