PBS sah tanding PRK Sandakan

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengesahkan penyertaannya dalam PRK Parlimen Sandakan bulan depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat biro politik parti berkenaan di sini baru-baru ini.

Beliau yang menggambarkan langkah itu sebagai “menyahut sokongan dan tuntutan akar umbi” berkata PBS sedang menyaring “senarai panjang” calonnya untuk dianggap sebagai calon paling ‘boleh menang’ untuk bertanding nanti.

"Parti masih menyaring senarai nama dan berharap untuk membuat pengumuman mengenai calon sebelum hari penamaan nanti. Kami ada senarai calon yang banyak, dan nama-nama calon masih dihantar oleh anggota parti peringkat akar umbi di Sandakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tak tanding PRK Sandakan

Beliau berkata, senarai itu termasuk pemimpin-pemimpin dari dalam parti, dan juga dari luar.

"Kami teruja untuk mengibarkan bendera kami dalam PRK ini. Kami rayu kepada pengundi Sandakan untuk menyokong PBS bagi membolehkan kami bersuara lebih lantang di parlimen. PBS juga sanggup bekerjasama dengan lain-lain parti pembangkang yang sehaluan, sama ada peringkat nasional mahupun tempatan,” katanya. Kali terakhir PBS mengibarkan benderanya sendiri adalah pada pilihan raya umum (PRU) 1999, sebelum ini menyertai Barisan Nasional pada 2002.

PBS telah meninggalkan pakatan itu selepas parti pemerintah mempamerkan prestasi buruk pada PRU14 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei bagi hari mengundi awal, dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, para 28 Mac lepas. - Bernama