Exco dedah ahli politik tumpang akaun MBN Perak

Howard ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang DUN Perak hari ini.
Howard ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang DUN Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee mendedahkan terdapat individu politik yang 'menumpang' sejumlah wang ke dalam akaun Majlis Belia Negeri (MBN) Perak.

Menurutnya, hasil siasatan audit dalaman mendapati sejumlah RM228,500 individu politik tertentu telah ditumpang ke dalam akaun MBN Perak pada tahun 2015.

"Nampaknya, bukan Pusat Khidmat ADUN yang memberi sumbangan kepada MBN, tetapi MBN yang memberikan sumbangan kepada Pusat Khidmat ADUN.

"Bagi kita ini adalah satu transaksi yang mencurigakan seperti ada udang di sebalik batu," katanya ketika sesi penggulungan Sidang DUN Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

Sementara itu Howard berkata, pada tahun 2018, MBN telah diminta untuk menyerahkan laporan kewangan bagi tahun 2014-2017.

Katanya, berdasarkan penelitian dan audit terdapat tiga kelemahan kewangan yang disyorkan untuk diperbaiki.

Beliau berkata, MBN seharusnya kembali kepada tujuan asal penubuhannya kerana perbelanjaan MBN sekarang dilihat lebih banyak disalurkan untuk tujuan pengurusan berbanding melaksanakan program-program.

Artikel Berkaitan:

Menurut Howard, MBN menggunakan peruntukan yang terlalu besar dan tidak berbaloi bagi penganjuran seperti penganjuran Karnival Mesra Belia pada tahun 2014 dengan perbelanjaan sebanyak RM264,335, perbelanjaan sejumlah RM555,997.30 bagi program Perak Silveryouth Fest dan program Silveryouth Islamic Fest pada tahun 2015.

Katanya, pada tahun 2016 pula, sebanyak RM537,452 dibelanjakan bagi program belia sempena Pemukiman Menteri Besar Perak, program Ekspresi Anak Muda dan menghantar peserta ke Pesta Sukan Majlis Belia Malaysia.

Beliau berkata, sejumlah RM438,500 turut dibelanjakan pada tahun 2017 bagi program Pemukiman Menteri Besar Perak di enam daerah.

Katanya, kerajaan negeri menilai bahawa perbelanjaan tersebut adalah terlalu tinggi dan tidak memberikan impak kepada majoriti belia di Perak.

Dalam pada itu, Howard menafikan dakwaan pembangkang yang seolah-olah menggambarkan pihak kerajaan negeri menganaktirikan pertubuhan belia khususnya Majlis Belia negeri Perak.

"Pejabat saya juga sedang meneliti beberapa permohonan peruntukan bagi penganjuran program oleh MBN Perak.

"Tiada masalah untuk MBN Perak memohon peruntukan untuk penganjuran aktiviti asalkan ianya berupaya membangunkan potensi belia Perak di luar sana," katanya.

Mengulas mengenai pemecatan kakitangan MBN yang telah dibangkitkan, Howard berkata, keputusan tersebut bukanlah keputusannya atau kerajaan negeri.

Katanya, MBN adalah satu badan yang bebas yang dipilih oleh ahli-ahli gabungan MBN yang mana kerajaan negeri tidak akan mencampuri pentadbiran MBN.