Kelar rakan sampai mati

Keadaan sekitar lokasi kejadian malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan sekitar lokasi kejadian malam tadi. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki tergamak mengelar leher rakannya sehingga mati dengan menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah kedai makan di Taman Bukit Emas, Rahang malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, mangsa yang berusia 24 dan suspek,19 merupakan warganegara Thailand yang bekerja di kedai itu sebelum berlaku pergaduhan jam 9.50 malam.

"Berdasarkan siasatan awal, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang menegurnya mengenai perihal tugas di tempat kerja.

"Ketika berada di bahagian belakang dapur, suspek mengambil pisau pemotong sayur lalu mengelar leher mangsa.

“Adik mangsa bersama beberapa pelanggan kedai makan yang berada di lokasi kejadian terus menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rosli berkata, suspek dan senjata yang digunakan ketika kejadian kemudian diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

"Manakala suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan tahan reman.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kes berkenaan juga dianggap selesai kerana suspek utama telah ditangkap. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.