74 peratus sempadan antarabangsa darat negara dimuktamadkan

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

BANGI - Malaysia telah memuktamadkan 74 peratus jarak sempadan antarabangsa darat negara dengan Thailand, Indonesia dan Brunei pada tahun lepas, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata ia merangkumi 2,431 kilometer (km) daripada jumlah 3,257 km melalui projek penandaan dan pengukuran sempadan darat dan antarabangsa Malaysia.

Selebihnya iaitu kira-kira 826 km atau 26 peratus masih belum dimuktamadkan, kerana proses rundingan masih berjalan kerana terdapat isu tuntutan wilayah yang bertindih dengan negara-negara jiran, katanya.

"Rundingan adalah bagi menyelesaikan isu persempadan darat di sembilan kawasan yang masih lagi menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia. Rundingan menunjukkan impak yang positif," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KATS 2018 di sini hari ini.

Lima kawasan yang masih dalam rundingan ialah di sektor Sabah-Kalimantan Utara, dan empat lagi kawasan di sektor Sarawak-Kalimantan Barat, katanya.

Bagi sempadan Malaysia-Thailand, beliau berkata anggaran kawasan sepanjang empat km di Bukit Jeli, masih belum dapat diselesaikan dan dalam proses rundingan antara kedua-dua negara.

Manakala kerja-kerja penandaan dan pengukuran sedang giat dijalankan secara bersama bagi sempadan Malaysia-Brunei, katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan telah memuktamadkan sempadan maritim sepanjang 3,990 km atau 69 peratus daripada jumlah keseluruhan sepanjang 5,749 km, dan selebihnya masih dalam proses rundingan ekoran terdapatnya tuntutan wilayah maritim yang bertindih.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) telah menghadapi cabaran getir menzahirkan kedaulatan sempadan negara di perairan Malaysia seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulawesi. Kedaulatan negara di kawasan ini akan sentiasa dicabar oleh negara jiran, kerana khazanah laut kaya dengan petroleum dan gas asli," katanya.

Pada majlis itu, seramai 854 pegawai daripada jabatan dan agensi di bawah kementerian menerima APC, 21 menerima Anugerah Lama Berkhidmat, manakala dua projek menerima Anugerah Khas Menteri kerana memberi sumbangan yang siginifikan kepada perkhidmatan awam dan negara.

Dua projek itu adalah Projek Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat Negeri dan Antarabangsa serta Peta Baru Malaysia, dan Projek Penggubalan Rang Undang-Undang Sumber Air. - Bernama