Miti komited tarik pelaburan berkualiti

Darell Leiking. - Foto Bernama
Darell Leiking. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setahun hampir berlalu sejak pilihan raya umum pada Mei lepas yang menyaksikan perubahan yang mencatat sejarah, bukan sahaja dalam kerajaan, tetapi seluruh landskap politik Malaysia yang turut memacu ekonomi negara dalam hala tuju yang berbeza.

Rakyat Malaysia yakin, dengan diberikan masa, dengan kerajaan baharu dalam Malaysia baharu, tadbir urus yang baik akhirnya akan wujud.

Bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, sejak memegang jawatan tersebut, ia menjadi laluan yang penuh dengan cabaran.

“Bagaimanapun, saya dapat memberi jaminan bahawa ekonomi kita berkembang dengan pesat,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Bernama.

Beliau berkata, beban di bahunya amat besar berikutan kementeriannya bertanggungjawab sepenuhnya untuk menarik pelabur yang berkualiti dan pelaburan langsung asing ke negara ini, selain memberi jaminan kepada pelabur bahawa Malaysia "merupakan tempat untuk menjalankan perniagaan".

“Di kementerian, kami perlu terus memberi jaminan kepada pelabur bahawa perdagangan akan berjalan seperti biasa walaupun perubahan berlaku dalam pentadbiran,” katanya.

Darrel mengakui bahawa dalam tempoh tersebut, beliau menghadapi pelbagai rintangan, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan dengan lebih baik.

“Dalam proses tersebut, kami mungkin kehilangan beberapa pelaburan, tetapi pada masa sama mendapat (pelaburan) yang lain. Saya percaya kita akan mendengar lebih banyak berita positif pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menteri itu berkata, cabaran yang dihadapi pada masa ini lebih kepada pelbagai dimensi berikutan ia lebih daripada isu perdagangan dan pelaburan yang mudah.

“Hari ini, halangan itu termasuk ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kemungkinan Britain berundur daripada Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian, ekonomi China yang lembap, ketegangan geopolitik, dan langkah perlindungan yang meningkat,” katanya.

Bagi meningkatkan piawaian, Darrel berkata kementeriannya telah memulakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), pendigitalan, robotik, kecerdasan buatan, analisis data raya, kemajuan automasi dan kemunculan teknologi baharu lain yang akan mengubah kehidupan dan cara perniagaan dijalankan.

“Automasi, Kecerdasan Buatan dan data raya merupakan tarikan pasaran yang terkini dan kami telah memperkenalkan Industry4wrd, pelan tindakan yang menyeluruh mengenai pelaksanaan IR4.0 dalam semua segmen pasaran,” katanya.

Bagi pelaburan, Darell yakin walaupun pertumbuhan ekonomi global perlahan, Malaysia akan kekal menjadi destinasi perniagaan pilihan di rantau ini, berdasarkan asasnya yang kukuh dan tenaga kerja yang mahir.

Persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia menjadikan negara antara destinasi pelaburan utama di dunia bagi operasi pengeluaran luar pesisir.

Malaysia, setakat ini, telah menarik lebih 5,000 syarikat asing dari lebih 40 negara untuk mewujudkan operasi mereka di negara ini.

Kebanyakan mereka telah mengembangkan dan mempelbagaikan operasi mereka, menunjukkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai lokasi kepada usaha niaga mereka.

Pada 2018, Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM201.7 bilion berbanding RM200.6 bilion pada 2017, dengan pelaburan langsung domestik menyumbang 60 peratus atau RM121.2 bilion daripada jumlah pelaburan, manakala pelabur asing menyumbang baki 40 peratus.

Jumlah pelaburan yang diluluskan antara Januari dan Jun 2018 sebanyak RM86.1 bilion dan RM115.6 bilion lagi diluluskan pada separuh kedua tahun itu.

China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan penyumbang terbesar dari segi pelaburan dalam sektor pembuatan pada 2018, yang menyumbang 76.4 peratus atau RM44.3 bilion daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan pada tahun tersebut.

Bagi 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia menyasarkan untuk mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan melebihi RM200 bilion. - Bernama