Pemilihan UMNO peluang akar umbi tentukan pemimpin kemudi parti

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan UMNO pada kali ini memberi peluang kepada akar umbi untuk mengangkat calon pemimpin sesuai yang benar-benar dapat mengalas tanggungjawabnya dalam mengemudi parti.

Memetik laporan UMNO Online, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang dapat memupuk kesepaduan di dalam parti dan mampu menguruskan parti secara baik.

“UMNO memerlukan pilihan terbaik. Sebab itu, kita laksanakan pemilihan agar akar umbi dan para perwakilan boleh membuat pilihan.

“Saya sebenarnya risau sekiranya pada pemilihan kali ini tidak ada yang mahu merebut jawatan seakan-akan UMNO ditinggalkan. Tetapi ianya meleset sama sekali sebab ramai yang menawarkan diri di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan.

“Ada sesetengah bahagian sampai tiga ke empat penjuru pertandingan. Alhamdulillah, masih ada orang yang mahu menggalas amanah dan memikul tanggungjawab bagi terus berbakti,” katanya pada Ahad.

Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.

Dalam pada itu, Reezal Merican juga mengumumkan penawaran dirinya sebagai calon jawatan Naib Presiden dalam pemilihan UMNO kali ini.

Menurutnya, diharap penawaran beliau sebagai calon Naib Presiden itu akan memberikan lebih banyak pilihan kepada para perwakilan.

“Hari ini saya tampil ke ibu Pejabat UMNO untuk kemukakan borang bagi menawarkan diri dalam menjawat jawatan Naib Presiden UMNO untuk sesi 2023/2026.

“Penawaran ini didasarkan atas penelitian perjalanan politik yang telah saya lalui lebih 25 tahun.

“Dengan rangkuman khidmat dari berusia 28 tahun bermula sebagai setiausaha politik, Exco Pergerakan Pemuda UMNO selama sepuluh tahun, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli MKT memberi satu gambaran bahawa memadailah untuk saya memberi pertimbangkan melangkah ke pentas selanjutnya,” ujarnya.