Kerajaan bantu tingkat taraf hidup masyarakat orang asli

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir merasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 bertemakan 'Memartabatkan Hak Orang Asli' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
 - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir merasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 bertemakan 'Memartabatkan Hak Orang Asli' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang merangka beberapa strategi melalui program-program tertentu untuk memperkasa usahawan orang asli agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli melalui penjanaan pendapatan yang tetap dan stabil.

“Program-program ini akan diintegrasikan bersama projek ekonomi sedia ada melalui latihan dan bimbingan bertujuan membangunkan eko-pelancongan atau agro pelancongan orang asli.

“Saya yakin sektor eko-pelancongan atau agro pelancongan mampu membangunkan ekonomi masyarakat orang asli melalui penyediaan peluang pekerjaan yang secara langsung akan dapat menambah pendapatan kepada pembuat kraftangan, pengeluar produk hiliran berasaskan hutan dan seterusnya menggalakkan masyarakat terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga masih menjadikan usaha meningkatkan tahap pendidikan di kalangan pelajar orang asli sebagai agenda utama.

“Dimaklumkan sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar orang asli yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pelbagai jurusan. Selain itu juga, terdapat pelajar-pelajar orang asli yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti luar negara pada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Jumlah ini memberi isyarat kepada Kerajaan bahawa masyarakat orang asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan terus membantu pelajar orang asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan akan mempertimbang setiap cadangan penambahbaikan yang dicadang, tetapi ia hendaklah bergantung kepada kemampuan semasa kerajaan.

“Pencapaian mereka yang amat menggalakkan pasti terhasil dari kegigihan dan kerja kuat mereka sendiri. Tetapi ia juga memberi galakan kepada kerajaan bahawa dasar-dasar yang diperkenal telah juga berjaya membantu menghasilkan pelajar cemerlang tersebut “ katanya.