Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor angkat sumpah

Barisan Exco dan Menteri Besar Johor bergambar bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Foto Royale Press Office
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu selamat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini, sebentar tadi.

Istiadat pelantikan kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri tersebut berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.

Menerusi posting dimuatnaik Facebook Royal Press Office (RPO), barisan Exco yang dilantik di bawah kendalian Menteri Besar Johor ke-17, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut menampilkan tiga wajah baharu manakala selebihnya adalah Exco terdahulu yang dikekalkan.

Exco sebelum ini yang mengangkat sumpah adalah Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Omar Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Tiga wajah baharu yang dilantik adalah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Ketiga-tiga nama baharu itu menggantikan slot Exco ditinggalkan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Tan Hong Pin (Skudai) dan Sahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Dalam istiadat sama, Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Sahruddin Jamal yang membawa gelaran Datuk.

Difahamkan, pengumuman mengenai portfolio yang akan dipegang oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dibuat di Kota Iskandar sekitar jam 12 tengah hari nanti.