Bagaimana kita menyaring berita

Pembawa atau penyebar maklumat mestilah adil dalam melapor, menyampai atau mengulas sesuatu pemberitaan.
Pembawa atau penyebar maklumat mestilah adil dalam melapor, menyampai atau mengulas sesuatu pemberitaan.
A
A
A

SEJAK lama dulu kita disajikan dengan berita bahawa negara China melakukan penindasan atau mistreatment kepada etnik Uighur di Wilayah Xinjiang. Mereka didiskriminasi kerana menganut agama Islam.

Penganut Islam dikatakan ditekan, ditindas oleh pihak kerajaan daripada menjalani ritual keagamaan seperti ibadat solat, puasa, membaca al-Quran dan berhijab.

Pihak kerajaan dikatakan mengambil langkah-langkah itu untuk melenyapkan budaya dan ajaran Islam di walayah tersebut.

Dilaporkan banyak masjid telah dirobohkan. Landskap penduduk diubah seperti melakukan pemindahan, mendesak dilakukan kahwin campur dan melarang menggunakan bahasa asal etnik Uighur.

Wilayah Xinjiang sangat luas. Ia termasuk di dalam hab dan rentasan Laluan Sutera yang menghubungkan China di sebelah timur ke negara sebelah barat.

Masjid-masjid di situ telah wujud sejak tahun 1200-an lagi. Masjid terbesar di China terletak di Wilayah Xinjiang iaitu Masjid Id Kah. Saban minggu solat Jumaat di masjid ini memuatkan kira-kira 10,000 jemaah.

Baru-baru ini kerajaan China menganjurkan program A trip of the sense in Xinjiang. Mereka menjemput media dan diplomat asing untuk memperjelaskan dakwaan mistreatment dimaksudkan.

Wartawan-wartawan Muslim, termasuk dari Malaysia melihat sendiri 13 juta penganut Islam yang terdiri daripada 10 etnik semuanya termasuk etnik Uighur. Mereka terdiri daripada 58% keseluruhan penduduk di wilayah itu.

Artikel Berkaitan:

Ironinya penemuan wartawan yang menyertai program berkenaan amat bercanggah sekali. Mereka melaporkan tidak berlaku pun layanan buruk kepada penduduk Muslim. Mereka bebas berniaga di bazar dan menjalani kehidupan yang damai.

Malah wartawan berkenaan menemui dan memetik sendiri kata-kata daripada ketua persatuan Islam di situ. ‘’Kami tidak didiskriminasi oleh kerajaan, kami bebas beribadat.’’ Wartawan menyebut dia turut melawat pusat pendidikan kanak-kanak pra sekolah Islam yang menggunakan dwi bahasa iaitu Uighur dan Mandarin.

Penulis bertemu etnik Uighur sewaktu berkunjung ke Beijing. Mereka menguasai penjualan manisan dan kekacang di hadapan restoran-restoran makanan Muslim juga di pekarangan masjid, di antaranya Masjid Xiujie.

Tidak menampakkan mereka tertekan ataupun diburu. Kalaulah beratus-ratus masjid telah diroboh, mereka tentunya jadi lebih kalut daripada Muslim Kashmir yang hanya kehilangan satu masjid di Babri.

Wallahuaklam, ini memerlukan analisis lebih menyeluruh dan neutral.

Laporan hasil lawatan sendiri seperti ini pastinya menimbulkan tanda tanya apakah nasib etnik Muslim di Wilayah Xinjiang sebenarnya. Apakah motif laporan terlalu ekstrem yang disogokkan sebelum ini.

Siapakah yang boleh dipercayai? Laporan media konvensional sebelum ini pun boleh kita ragui, apatah lagi era media baharu kini. Tentunya ia menuntut kita yang terdedah dengan pelaporan pelbagai sudut, medium dan muslihat, menyaringnya dengan lebih berhati-hati dan analitikal.

Tidak sahaja kepada isu ini tetapi apa jua yang boleh memudahkan kita terpengaruh dengan agenda tersembunyi sesuatu pihak. Untuk itu, pembawa atau penyebar maklumat mestilah adil dalam melapor, menyampai atau mengulas sesuatu pemberitaan. Tidak memihak lebih awal dan mengutamakan kepentingan diri serta kelompok.

Surah Al Maidah ayat 8 amat sesuai kita jadikan panduan. ‘’Wahai orang-orang yang beriman jadilah saksi yang adil kerana ALLAH SWT, janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum menghalang kamu daripada berlaku adil kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.’’

Kita bagaikan tidak mampu memiliki pelapor yang integritinya ‘tahap malaikat’. Justeru, institusi dan agensi berita perlu melahirkan penulis berpandukan nilai dan etika serta teguh susila.

Memfitnah menjadi perkara biasa. Propaganda dan konspirasi menjadi agenda pihak-pihak yang berkepentingan terutamanya dalam kancah politik.

Contoh dahsyatnya sesuatu konspirasi apabila Amerika (CIA) menggambarkan betapa kejamnya Iraq. Sandiwara pengakuan gadis Kuwait berumur 15 tahun mendedahkan kepada dunia tentera Iraq menyeksa bayi di Kuwait. Dunia bagaikan merestui Iraq diganyang. Jutaan rakyat Iraq terkorban dan negara itu lumpuh.

* Mohd Arshad Musa ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia