Selamatkan Tabung Haji

Hassan
Hassan
A
A
A
JOHOR BAHRU - Tabung Haji (TH) hanya dikawal dengan Akta Tabung Haji 1995 serta tidak dipengaruhi mana-mana entiti lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, sejak dahulu BNM tidak mempunyai kuasa untuk mengawal TH meskipun pihak berkenaan boleh memainkan peranan dalam bank-bank komersial yang lain.

Menurutnya, perkara itu kemudiannya membawa pelbagai masalah wang di dalam lembaga berkenaan yang mana sejak sekian lama hanya dikawal menerusi satu akta sahaja selain risikonya turut dibebani kepada kerajaan.

"Wang pendeposit TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan juga perlu membayar penuh sekiranya berlaku sesuatu kepada TH. Tiada had pendeposit menyimpan di dalam TH seperti simpanan di dalam PNB (Permodalan Nasional Berhad atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jadi risiko kerajaan amat tinggi.

"Pada tahun 2015 Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah mengeluarkan surat amaran kepada pengurusan TH bahawa TH mempunyai liabiliti lebih besar berbanding aset. Amaran itu kemudiannya tidak dipedulikan kerana BNM tiada kuasa memantau lembaga berkenaan.

"Kini, setiap 80 sen aset yang dipegang oleh TH, nilai liabiliti yang ditanggung ialah seringgit dan mengikut akta, TH tidak boleh membayar dividen dan bonus kepada pendeposit jika asetnya lebih rendah berbanding liabiliti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu juga bimbangan terhadap situasi masa hadapan TH yang mana kini dibelenggu pelbagai permasalahan tanpa ada haluan jelas.

Jelasnya, mana-mana individu yang telah mengakibatkan lembaga berkenaan mengalami masalah itu harus bertanggungjawab serta dibawa ke muka pengadilan oleh pihak berkuasa.

"Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap pihak pengurusan lama TH. Mereka yang sah didapati pecah amanah, cuai atau melanggar undang-undang hendaklah segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas mengenai permasalahan dialami TH yang didakwanya telah menjadi seperti tabung orang kaya daripada menjadi tabung simpanan mengerjakan ibadah haji bagi umat Islam di negeri ini.

"Tahun 2017 jumlah pendeposit TH adalah seramai 9.3 juta dengan jumlah simpanan sebanyak RM 70.78 bilion. Bagi tahun ini jumlah simpanan dikatakan mencecah sehingga RM73 bilion.

"Dalam jumlah itu sebanyak 1.3 peratus atau 117,000 daripada 9.3 juta pendeposit itu menyumbang kepada lebih 50 peratus simpanan Tabung Haji yang mana ada seorang pendeposit mempunyai lebih RM190 juta simpanan. Ini bermakna TH sudah jadi tabung orang kaya," katanya.