Siapa Ketua Hakim Negara?

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang hakim wanita antara tiga nama yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan bagi menggantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Memetik laporan Malaysiakini, hakim wanita tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat yang dihantar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Sekiranya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun akan menjadi ketua hakim wanita pertama negara.

Menurut portal itu lagi, nama kedua yang dihantar ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed, seorang tokoh dalam bidang kehakiman yang sudah berkhidmat selama 40 tahun.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun yang dilantik pada November tahun lalu menjadi nama ketiga yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja.

Idrus ialah abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan pernah berkhidmat sebagai ketua peguam cara negara dan penasihat undang-undang kepada SPR serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malanjum bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu selepas menyandang jawatan itu selama sembilan bulan.

Dalam pada itu, Singapore Straits Times yang memetik sumber berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan nama calon pada awal bulan lalu kepada Yang di-Pertuan Agong, namun tidak mendapat perkenan.

Artikel Berkaitan:

Kemudian pada Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, pencalonan pengganti Malanjum sedang menunggu perkenan Majlis Raja-Raja.

"Kelihatannya terdapat peruntukan untuk pelantikan tersebut diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan sahaja Agong.

"Kami telah memaklumkan kepada Agong. Terdapat keperluan untuk (baginda) memaklumkan kepada raja-raja yang sedang dilakukan sekarang dan kami sedang menunggu Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberi perkenan," kata Dr Mahathir pada 19 April lalu.