Kelab Kenu UUM berkayak hingga ke Thailand

Peserta Kelab Kenu bergambar bersama sejurus tamat Ekspedisi Kayak Malaysia-Thailand 2019 di Jeti Pulau Panjang, Koh Yao, kelmarin.
Peserta Kelab Kenu bergambar bersama sejurus tamat Ekspedisi Kayak Malaysia-Thailand 2019 di Jeti Pulau Panjang, Koh Yao, kelmarin.
A
A
A

SINTOK - Kelab Kenu Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kedah berjaya menamatkan Ekspedisi Kayak Malaysia-Thailand 2019, kelmarin.

Pengarah program, Su Prani Eh Put berkata, ekspedisi yang bermula pada 30 Mac lalu melibatkan jarak sejauh 5.3 batu nautika sehala dengan diiringi Polis Marin Malaysia dan Polis Marin Thailand.

Katanya, ekspedisi ini bermula dari Jeti Kampung Bahagia, Kuala Perlis melalui Pulau Brasmana dan berlabuh di Jeti Pulau Panjang, Koh Yao iaitu di sebuah pulau kecil dengan jumlah penduduk yang kecil.

“Ekspedisi ini melibatkan 48 orang peserta dan 16 orang jurulatih. Kesemua mereka menginap di Sekolah Koh Yao.

“Ekspedisi ini turut dimeriahkan dengan aktiviti khidmat masyarakat dengan mengadakan kenduri aqiqah hasil kerjasama Kelab Kenu UUM dan Pusat Islam UUM.

“Turut diadakan sesi pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bersama kanak-kanak di pulau tersebut,” katanya.

Su Prani berkata, peserta turut melawat Muzium Daerah Satun dan berkayak di Sungai Ma Nang.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Kedah Abdul Rahim Mat.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim turut menjayakan ekspedisi ini bersama jurulatih berpengalaman dari Pusat Kokurikulum UUM, Pusat Kokurikulum Kedah, Pusat Kokurikulum Perlis dan Jabatan Pendidikan Kedah.

Abdul Rahim berkata, ekspedisi seperti ini amat digalakkan bagi melahirkan pelajar yang prihatin terhadap masyarakat yang kurang bernasib baik di samping mencungkil bakat atlet kayak di peringkat universiti.