Pemuda Pas mahu jentera parti bersiap sedia

Khalil (tengah) tiba pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Dewan Tun Razak, Temerloh, semalam.
A
A

TEMERLOH - Semua jentera Pas diminta bersedia berikutan parti itu menjangka PRU15 bakal diadakan lebih cepat, seawal 2021 selari dengan PRN Sarawak.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Khalil Abdul Hadi berkata, jangkaan itu berikutan kecelaruan politik yang berlaku kini.

Menurutnya, politik yang tidak stabil, tekanan ekonomi dan kos sara hidup masih meningkat antara faktor jangkaan PRU lebih awal.

“Tidak dapat tidak, mesti diwujudkan satu kestabilan politik. Cara macam mana hendak wujud mesti dibuat pilihan raya awal. “Perbalahan hari ini (dalam PH) yang kita lihat bagai retak menunggu belah, pertembungan hendak menjadi Perdana Menteri dan sebagainya. Saya jangkakan PRU15 paling awal mungkin diadakan sekali dengan PRN Sarawak pada 2021,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pahang di Dewan Tun Razak di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Pahang, Hazmi Dibok.

Khalil berkata, kecelaruan dalam negara ketika ini mengakibatkan pelbagai kesan negatif termasuk ketidakyakinan pelabur.

“Kerajaan pusat hari ini tidak stabil. Perdana Menteri daripada parti yang mempunyai kerusi yang sedikit dalam komponen. Yang dominan sekali ialah DAP, yang dominan ialah PKR, komponen PH hari ini masing-masing mempunyai hala tuju masing-masing.

“Bersatu dengan hala tujunya, PKR dengan hala tujunya hendak menjadi Perdana Menteri, DAP dengan hala tujunya Malaysian Malaysia, PAN dengan hala tujunya ialah DAP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, persiapan menyeluruh perlu digerakkan segera melibatkan jentera, organisasi dan sebagainya untuk berdepan PRU15.

Mengulas kerjasama dengan UMNO, Khalil berkata, Pemuda Pas akan meneruskan kerjasama seperti beberapa Pilihan Raya Kecil sebelum ini.