Ambil masa 10 tahun khatamkan pelajar

Nor Tipah bersama suaminya Bahar, Yusoh, 75, di hadapan Rumah Ngaji Mawaddah Warahmah yang telah beroperasi sejak Februari lalu.
Nor Tipah bersama suaminya Bahar, Yusoh, 75, di hadapan Rumah Ngaji Mawaddah Warahmah yang telah beroperasi sejak Februari lalu.
A
A
A

TANGKAK - Pernah ambil masa sehingga 10 tahun untuk mendidik dan mengkhatamkan al-Quran kepada seorang peserta dewasa yang buta huruf.

Itu pengalaman yang tidak dilupakan seorang guru mengaji, Nortipah Md Top, 70.

Nortipah berkata, konsep didikannya dia tidak menetapkan sasaran masa yang diambil untuk seseorang itu mahir membaca.

“Semua orang ada kebolehan dan kemampuan masing-masing.

“Sebagai guru, kita tak boleh terkejar-kejar sebab nak mengajar memang kena ambil masa,” katanya.

Jangan malu untuk belajar

Menurutnya, sejak 2008 memegang tanggungjawab sebagai guru mengaji, pelbagai pengalaman yang berharga diperoleh.

“Antaranya yang saya ingat, ada lebih 10 anak murid dewasa yang datang pada saya nak belajar mengaji, tapi mereka langsung tak kenal huruf hijaiyah. “ Tapi saya kagum dengan kesungguhan mereka, nampak memang semangat nak belajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Nortipah berkata, dia melatih peserta itu mengenali huruf terlebih dahulu sebelum melangkah kepada Iqra’.

“Saya ajar mereka daripada awal sampailah mereka boleh mengaji dengan baik dan seterusnya khatam al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Tempoh masa pula berbeza-beza. Ada yang tiga tahun baru dapat khatam dan ada yang sampai 10 tahun baru berjaya khatam al-Quran dalam seumur hidup,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, al-Quran adalah milik orang Islam dan ia lebih memalukan jika golongan itu sendiri gagal menghayati dan membacanya.

“Kalau dah tua tapi masih tak lancar dan tak tahu mengaji, jangan malu untuk belajar dan cari guru. Berpuluh tahun usia dipinjamkan tapi takkanlah sampai meninggal dunia kelak pun masih tak tahu mengaji.

“Itu lagi malu dengan ALLAH. Sekalipun kita dah tua, cuba ambil masa belajar, hayati al-Quran sebab ini antara bekalan ilmu kita masa akhirat nanti,” katanya.

Kadi daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman bersama Sheikh Redha Ali Darwish Ali al-Ilwani (tengah) dan Shamsuddin (dua dari kiri) bersama AJK Rumah Ngaji Mawaddah Warahmah.
Kadi daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman bersama Sheikh Redha Ali Darwish Ali al-Ilwani (tengah) dan Shamsuddin (dua dari kiri) bersama AJK Rumah Ngaji Mawaddah Warahmah.

Tubuh Rumah Ngaji pertama di Tangkak

Dalam pada itu, Nortipah kini berjaya menubuhkan sebuah Rumah Ngaji di Kampung Solok sebagai kemudahan buat peserta dewasa yang mahu mengikuti kelas al-Quran.

Pesara guru agama ini berkata, tindakannya menubuhkan Rumah Ngaji Mawaddah Warahmah di hadapan kediamannya sejak Februari lalu adalah demi keselesaan peserta selepas kelas sebelum ini dilakukan di pekarangan rumahnya.

“Mungkin agak tak selesa sebab belajar di luar sebab suasana kadang-kadang bising. Jadi dengan penubuhan rumah ngaji seluas 22 X 44 kaki ini dapat muatkan sampai 100 peserta.

“Waktu pembelajaran pula terbahagi kepada tiga sesi iaitu seawal 6.30 pagi, 3 petang dan 5 petang. Kita sediakan tujuh orang guru untuk mengajar. Kelas ditutup pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Katanya, sepanjang Ramadan ini juga, kelas al-Qurannya turut menyediakan sesi sanat bersama pengajar terkenal dari Mesir, Sheikh Redha Ali Darwish Ali al-Ilwani bagi mana-mana guru al-Quran memperoleh tauliah mengajar dengan lebih baik.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Johor dan Guru al-Quran, Shamsuddin Ismail menyeru guru ngaji untuk berusaha menggerakkan Rumah Ngaji masing-masing agar konsep membudayakan al-Quran terus disemai.