Mohd Puad pertahan jawatan MKT UMNO

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

BATU PAHAT - Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan kali ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, memaklumkan telah menyerahkan borang pencalonan pada Rabu lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat yang disandang sejak 2004.

"Saya mahu terus menyumbang bakti kepada parti sebagai ahli MKT, selain membawa dasar parti kepada kerajaan yang menjadi tonggak utama.

"MKT adalah badan tertinggi parti yang bukan sahaja membuat dasar tetapi juga badan yang memutuskan hala tuju parti. Saya yakin, saya masih mampu menyumbang kepada parti melalui MKT apatah lagi UMNO kini duduk di dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat ADUN Rengit di sini pada Jumaat.

Mohd Puad turut menggesa semua calon yang bertanding peringkat bahagian, sayap dan pusat agar serius dan seterusnya patuh kepada setiap keputusan parti.

"Mereka yang bertanding perlu mewarisi perjuangan dan menyumbang kepada pengukuhan parti, bukan hanya mewarisi kepimpinan parti semata-mata.

"Ia berbeza antara mewarisi perjuangan serta mewarisi kepimpinan parti. Oleh itu selepas sahaja pemilihan diadakan, gerak kerja perlu dilakukan segera untuk memperkuatkan parti," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desas-desus beliau dijangka berdepan saingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian, jelasnya, ia adalah proses yang perlu dihadapi setiap kali pemilihan berlaku.

"Saya mempunyai agenda perjuangan parti tersendiri selain seiring dengan dasar parti sedia ada bagi mengukuhkan parti ini," katanya.