Lawatan PM ke China tumpu tarik pelaburan di tiga sektor

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SEREMBAN - Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China pada Khamis depan akan menumpukan usaha menarik pelaburan dalam tiga sektor iaitu pelaburan, perdagangan dan pelancongan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau yang akan turut menyertai lawatan itu berkata, pihaknya berhasrat menarik pelaburan dari China menerusi pelbagai sektor.

“Apa yang penting, kita nak tarik pelaburan mereka, bina kilang di sini untuk mereka mendirikan pangkalan dalam pelbagai industri. Kita tak boleh pertikaikan bahawa China merupakan satu negara kuasa ekonomi yang besar sekarang. Jadi, suka tak suka, kita perlu menarik pelaburan mereka.

“Mengenai perdagangan dengan China, ada eksport kita di sana terutamanya bahan mentah, kelapa sawit, komoditi dan sebagainya, manakala (tumpuan kepada) sektor pelancongan pula bertujuan menarik lebih ramai warga China melancong ke Malaysia.

“Saya yakin, kita nak teruskan dan tambah baik dan usaha-usaha ini (diharap) dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Harapan Dewan Undangan Negeri Ampangan di sini, malam tadi.

Dalam lawatan ke China itu, Loke berkata Malaysia juga akan merebut peluang untuk meneroka pelaburan dalam bidang perkapalan serta agenda utama bagi mempromosi industri sawit negara ke China.

Dr Mahathir dijadual melawat China selama empat hari bermula Khamis ini bagi menyertai Forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing.

Beliau dijangka menyertai pelbagai program di forum berkenaan, selain mesyuarat peringkat tinggi antara kerajaan Malaysia-China serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping, dan Perdana Menteri China Li Keqiang dan ahli perniagaan dari negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai sektor pengangkutan, Loke yang juga Anggota Parlimen Seremban berkata Malaysia banyak menjalin kerjasama dengan China termasuk pengangkutan kereta api.

“Misalnya, mereka ada satu kilang stok guling (rolling stock) di Batu Gajah, Perak dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dipasang di Batu Gajah. Kita memang nak menceburi lebih banyak peluang dalam bidang perkapalan termasuk meningkatkan prestasi pelabuhan.

“Tetapi, apa yang penting adalah kerjasama dengan China supaya ada peluang-peluang yang diberikan kepada rakyat tempatan. Itu sebabnya dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita nak meningkatkan penyertaan tempatan...ada 40 peratus kandungan tempatan diberikan kepada syarikat-syarikat Malaysia dari segi kontrak-kontrak kecil,” katanya. -Bernama