Galak OKU sertai bidang kemahiran, keusahawanan

Mahfuz Omar
A
A

KEPALA BATAS - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) disarankan agar mengikuti program-program latihan kemahiran serta melibatkan diri dalam bidang keusahawanan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi diri, keluarga dan negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, perubahan dalam persekitaran pekerjaan sentiasa berlaku sama ada evolusi teknologi mahupun pertukaran sistem bermasyarakat perlu ditempuhi semua insan termasuk golongan OKU.

"Menyedari hal ini, kerajaan merasakan perlunya golongan ini diberikan latihan kemahiran serta menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan selain daripada diberikan peluang dalam pekerjaan.

"Kita sudah ada contoh OKU yang berjaya dalam bidang keusahawanan dan membuktikan mereka mampu menonjol dalam bidang kemahiran," katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya, Kemahiran, dan Keusahawanan Insan Istimewa 2019 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengambil contoh usahawan bengkel kereta yang cacat anggota kaki Mohd Sofian Mohd Yazid, 31, Mahfuz berkata, golongan OKU telah membuktikan bahawa mereka mampu mencapai kejayaan melalui bidang keusahawanan dan ia perlu menjadi contoh kepada semua lapisan masyarakat.

"Saya baharu sahaja berbincang dengan saudara Sofian mengenai perkembangan perniagaannya.

"Beliau antara insan yang paling gigih yang pernah saya jumpa, setiap pengusaha perniagaan perlu malu dan hormat kepadanya. Pihak kami akan mengkaji dan berusaha membantu beliau," katanya.

Mohd Sofian yang turut hadir pada karnival itu berkata tujuannya ke program itu adalah untuk menemui Mahfuz bagi membincangkan perkembangan perniagannya serta usaha beliau untuk membantu golongan OKU yang lain.

Menurutnya, beliau sedang berusaha untuk menjadikan bengkelnya sebagai pusat untuk golongan OKU mempelajari selok-belok kemahiran automatif, pengendalian perniagaan, dan sebagainya selama enam bulan sebelum diberikan sijil yang sah diperakui oleh kerajaan.

"Antara sebab saya ingin mengusahakan ini semua adalah kerana ramai golongan OKU yang saya jumpa, mereka tidak ada pendorong dan keyakinan.

"Saya akan menggalakkan mereka agar masuk pertandingan inovasi dan kemahiran sama ada di dalam atau luar negara untuk mereka menonjolkan bakat masing-masing.

"Selepas latihan selama enam bulan, mereka akan keluar dan saya akan batu mereka untuk membina perniagaan sendiri," katanya.

Selain perniagaan automatif, Mohd Sofian juga sedang berusaha membina sebuah pusat tarikan pelancong iaitu pusat sukan permotoran 'motocross' di Pendang, Kedah dan merancang untuk menggunakan tenaga kerja OKU sebagai peneraju utama perniagaan itu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia