X

Kindly register in order to view this article
!

Signifikan Rantau ke Sandakan

A
A

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau bakal memberikan impak kepada kerusi Sandakan, Sabah.

Secara tradisinya, kerusi Parlimen Sandakan adalah milik Parti Liberal Demokrat (LDP) tetapi tewas kepada DAP sejak 2013. Kekalahan ini disebabkan faktor pergolakan dalam LDP apabila Presiden LDP iaitu Datuk Liew Vui Keong yang menjawatnya sejak 2006 telah dicabar oleh Teo Chee Kang.

Chee Kang menang sebagai Presiden LDP dan ini menyebabkan Vui Keong keluar dari LDP bersama 200 pengikutnya menyertai Parti Warisan. Situasi ini semakin rumit apabila MCA campur tangan dalam politik Sabah dengan mencadangkan Peter Pang ke dalam barisan Kabinet negeri pimpinan Datuk Musa Aman.

Cetusan insiden ini disebabkan peletakan jawatan bekas Presiden LDP, Chong Kah Kiat daripada Kabinet negeri Musa disebabkan isu pembinaan Patung Mazu yang diusahakan oleh Kudat Thean Hou Charitable Foundation di Kudat.

Kah Kiat pada masa tersebut ialah Exco Menteri Pelancongan, Budaya dan Persekitaran. Apa yang menarik ialah Peter Pang akhirnya menyertai Parti Gerakan pada tahun 2011 meninggalkan LDP disebabkan tidak sefahaman dengan Kah Kiat. Impak isu-isu tersebut menyebabkan sokongan komuniti Cina Sabah ke atas BN semakin merudum.

Pengerusi DAP, Stephen Wong adalah pemimpin yang dihormati dan disegani dalam kalangan penduduk Cina Sabah. Tidak menghairankan apabila LDP sekali lagi tewas pada PRU 2018 apabila kepimpinan baharu LDP tidak mampu mendapat sokongan.

Pemilihan Chin Shu Ping sebagai Presiden LDP pada tahun 2018 adalah tepat kerana beliau merupakan beregu Vui Keong antara tahun 2006 hingga 2014. Jika diamati, UMNO Sabah tidak pernah meletakkan calon kerana kerusi tersebut milik LDP. Tetapi LDP kini telah meninggalkan BN. Persoalannya adakah gabungan Pas dan UMNO mampu merealisasikan matlamat mereka di Sandakan.

Ini disebabkan jumlah pengundi Bumiputera Islam ialah 7,200 dan pengundi Melayu yang tinggal di Sandakan di bawah ESSCOM turut bertambah menjadi 6,300 berbanding pengundi Cina iaitu 20,300 dan Bumiputera bukan Islam 3,200. Apakah Pas dan UMNO mampu meraih undi melebihi 3,000 disebabkan Pas tidak pernah meletak calonnya di Sandakan.

Jika dilihat daripada PRU 2008 hingga 2018 didapati secara konsisten bilangan pengundi adalah antara dua parti iaitu DAP dan LDP, boleh difahami iaitu pengundi tegar DAP ialah 14,000 dan pengundi tegar LDP ialah 9,000.

Terdapat 5,000 pengundi atas pagar yang memilih DAP pada PRU 2018. Secara purata yang keluar mengundi boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pertama dari PRU 1999 hingga 2004 adalah 55.75 peratus; fasa kedua dari PRU 2008 hingga 2013 iaitu 68 peratus secara purata.

Seterusnya PRU 2018, peratus keluar undi meningkat melebihi 70 peratus. Ini bermakna terdapat dua kondisi yang mempengaruhi peratus keluar undi iaitu soal isu lokaliti dan parti.

Kebarangkalian ini dilihat apabila sejumlah bilangan pengundi yang konsisten memilih kedua-dua parti tersebut daripada populasi jumlah pengundi Cina 61.7 peratus tahun 2004 hinggalah 53 peratus tahun 2018.

Terdapat pertambahan populasi pengundi bumi bukan Islam daripada 2.7 peratus kepada lapan peratus dan pada masa sama populasi pengundi bumi Islam masih kekal antara 35 peratus.

Apabila setiap kali ada calon ketiga yang bertanding, contohnya PRU 2008, PRU 2004 dan PRU 1999 adalah didapati secara konsisten pengundi beralih kepada calon ketiga. Manakala sejumlah 8,000 secara purata tidak keluar mengundi.

Fakta menarik PRU tahun 2013, Stephen Wong menewaskan Vui Keong walaupun telah mempertahankan kerusi Sandakan pada PRU 2008 dan kalah pada calon Bebas pada PRU 2004.

Pengerusi DAP berjaya mempertahankan kerusi Sandakan pada PRU tahun 2018 disebabkan ketokohan Stephen Wong. Terdapat persoalan kenapa Vui Keong tidak menyertai DAP pada tahun 2018? Mampukah DAP mempertahankan kerusinya atas dua isu tersebut?

*Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf