Kuota 20 peratus: Wujud persaingan lebih sihat

Dr Salmee Said
Dr Salmee Said
A
A
A

KUBANG PASU - Kerajaan wajar mempertimbangkan kuota sebanyak 20 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera bagi setiap kemasukan ke matrikulasi.

Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said berkata, saranan itu akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat selain memberi peluang kepada pelajar yang layak untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, matlamat asal program matrikulasi adalah membangunkan potensi pelajar Bumiputera melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Bagaimanapun, sekarang ini tidak kira Bumiputera atau bukan Bumiputera, semuanya berpeluang untuk menyambung pengajian di matrikulasi seandainya mereka layak,” katanya pada sidang media pada Program Town Hall Perdana Pendidikan Kedah 2019 di Maktab Rendah Sains Mara Kubang Pasu, di sini hari ini..

Menurutnya, kerajaan PH sentiasa peka dengan isu-isu pendidikan dan akan memastikan pelajar yang cemerlang mendapat tempat di pusat pengajian.

“Kepada pelajar yang tidak berpeluang masuk ke matrikulasi, mereka masih mempunyai peluang cerah di Tingkatan Enam dan juga mana-mana Institut Pengajian Tinggi untuk pengajian diploma dan asasi.

“Jangan kecilkan skop pendidikan kita dengan hanya tertumpu pada matrikulasi sahaja kerana banyak lagi peluang lain yang boleh kita rebut,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kuota pengambilan pelajar ke program matrikulasi untuk bukan Bumiputera adalah bersifat 'one-off' berdasarkan keperluan dan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan Maszlee itu bagi menjawab isu yang tular berkaitan keciciran pelajar cemerlang kaum India yang didakwa tidak ditawarkan kemasukan ke matrikulasi.