Lapan letupan dalam sehari

Pihak berkuasa memeriksa salah sebuah gereja yang menjadi sasaran serangan bom serentak di Sri Lanka, hari ini.
Pihak berkuasa memeriksa salah sebuah gereja yang menjadi sasaran serangan bom serentak di Sri Lanka, hari ini.
A
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Sekurang-kurangnya 207 orang termasuk 35 warga asing terbunuh manakala 450 cedera dalam siri serangan bom yang menggegar Sri Lanka, hari ini.

Sebanyak lapan letupan dilaporkan yang menyasarkan tiga gereja dan beberapa hotel terkemuka di Colombo.

Susulan kejadian itu, Presiden Maithripala Sirisena telah mengarahkan pasukan khas polis dan tentera untuk menyiasat dalang di sebalik tragedi berdarah itu dan agenda mereka.

Pasukan tentera turut ditempatkan di sekitar negara dan kawalan keselamatan telah dipertingkatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Colombo.

“Perdana Menteri, Ranil Wikremesinghe mengadakan pertemuan dengan menteri dan pegawai kanan tentera. Semua langkah telah diambil untuk mengekalkan keamanan.

Dalam pada itu, Wikremesinghe turut mengutuk keras kejadian tersebut yang disifatkan sebagai ‘serangan pengecut’.“Saya meminta seluruh rakyat supaya terus bersatu dalam menghadapi kejadian tragis ini,” tegasnya menerusi Twitter.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan secara serentak itu.

Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara dilaporkan telah mengeluarkan amaran risikan kepada pegawai tertinggi kira-kira 10 hari lalu yang mendedahkan rancangan pengebom berani mati yang mahu mengebom ‘gereja terkenal’.

Artikel Berkaitan:

“Laporan agensi risikan asing mendapati kumpulan radikal, National Thowheeth Jama’ath (NTJ) merancang serangan pengeboman berani mati yang turut menyasarkan Suruhanjaya Tinggi India di Colombo,” jelasnya.

Letupan pertama dilaporkan berlaku di gereja katolik St Anthony di Colombo dan letupan kedua berlaku di gereja St Sebastian manakala kejadian ketiga disahkan di sebuah gereja di Batticola selain letupan menyasarkan Hotel Shangri-La, Hotel Kingsbury dan Hotel Cinnamon Grand di ibu negara.

Serangan berlaku ketika penganut Kristian meraikan Hari Easter yang mengikut kepercayaan penganut agama Kristian bahawa pada hari tersebut iaitu hari Ahad, Nabi Isa telah dihidupkan kembali.

Perintah berkurung

Kerajaan turut mengumumkan perintah berkurung berkuat kuasa bermula 6 petang hingga 6 pagi (waktu tempatan).

“Perintah berkurung itu dikuatkuasakan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan,” kata Menteri Pertahanan, Ruwan Wijewardene.

Selain itu, kerajaan juga mengarahkan penutupan saluran media sosial dan perkhidmatan mesej bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.