PNB bayar dividen RM187.1 bilion sejak penubuhannya

Dr Mahathir menyampaikan ucapan menerusi rakaman video pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di pekarangan Amanjaya Mall hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) membayar pulangan dividen terkumpul berjumlah RM187.1 bilion kepada pemegang unitnya sejak ditubuhkan 40 tahun lepas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi rakaman video pada pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di Sungai Petani hari ini, Dr Mahathir berkata PNB berjaya mengumpul dan mengembangkan asetnya sehingga mencecah RM298.5 bilion dengan jumlah 13.8 juta pemegang akaun yang membawa nilai aset sebanyak RM236.6 bilion.

Beliau turut memuji rekod prestasi kukuh PNB yang memberikan dividen kompetitif dan berterusan kepada pemegang unit menerusi pembayaran dividen terkumpul berjumlah RM187.1 bilion.

"Pencapaian ini merupakan bukti tadbir urus yang kukuh dan keprofesionalan kepimpinan semasa dan terdahulu PNB dalam menggerakkan kekayaan pemegang unitnya.

"Pemeliharaan nilai-nilai seperti integriti dan amanah oleh PNB telah membolehkannya terhindar daripada masalah tadbir urus yang berlaku di institusi lain beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Perdana Menteri juga yakin PNB akan terus mengamalkan nilai-nilai tersebut dalam perjalanannya untuk memenuhi mandat meningkatkan kekayaan Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia