'Pemergian Mohd Kamal kehilangan besar buat negara'

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh ilmuwan negara, Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang telah kembali ke Rahmatullah awal hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan menyatakan Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai jasa dan bakti Allahyarham serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara.

"Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

"Ketokohan Allahyarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi tokoh ilmuwan yang cukup disegani," kata kenyataan itu, pada Khamis.

Allahyarham diamanahkan sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006 selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Allahyarham adalah antara cendekiawan yang dinobat sebagai Prof Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik negara. - Awani