ECRL: Najib abaikan nasihat agensi kerajaan, kata Daim

Najib - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Najib - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Daim Zainuddin mempersoalkan sama ada wakil khas bekas perdana menteri, yang bertindak secara sendirian telah terlibat dalam perbincangan dan rundingan terus bagi kontrak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang lama.

"Adakah wakil peribadi bekas PM atau adakah wakil rasmi Kerajaan, seperti yang sepatutnya dalam kes ini," katanya.

Daim bertanya sama ada wakil peribadi berunding secara terus dengan China dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), menyebabkan perjanjian ECRL yang lama ditandatangani pada kos amat tinggi dan tanpa ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.

"Adakah ia disediakan oleh EPU seperti sepatutnya dalam kes ini, atau adakah EPU hanya diarahkan untuk menerima kertas cadangan yang disediakan oleh agensi lain?” soalnya.

Daim, yang juga duta khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China untuk merundingkan semula kontrak ECRL yang lama, membangkitkan persoalan ini sebagai respons kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang jelas amat aktif di laman sosial dalam mempertahankan perjanjian yang ditandatangani oleh pentadbirannya.

Bekas perdana menteri telah "mengabaikan nasihat baik" daripada agensi kerajaannya sendiri -- iaitu EPU -- dengan mempertaruhkan rakyat dalam mendesak bagi projek ECRL yang lama pada kos amat tinggi iaitu RM65.5 bilion, kata Daim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

"Apakah EPU tidak menyatakan dengan jelas bantahan dan kebimbangannya berhubung kertas yang dibentangkan kepada Kabinet, dan kenapa bantahan dan kebimbangan berkenaan diabaikan -- mungkin bekas perdana menteri dan menteri bertanggungjawab ke atas EPU dapat memberi pencerahan kepada kita.

"Bekas PM berkata beliau ada 'keraguan' mengenai perjanjian ECRL yang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengingatkan beliau bahawa seluruh Malaysia mempunyai lebih banyak "keraguan” mengenai perjanjian ECRL yang lama - konsepnya yang kabur, kurang ketelusan, kurang integriti, kelulusan tergesa-gesa, butiran tidak jelas, kos amat tinggi, tiada akuantabiliti kepada rakyat, lain-lain lagi," katanya.

Daim berkata terdapat beberapa cubaan untuk menjustifikasikan perjanjian ECRL yang lama sepertimana yang dicadangkan oleh kajian McKinsey yang dibentangkan kepada Majlis Ekonomi pada 2015 dan 2016.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak yang boleh dipercayai bahawa kajian yang mencadangkan jajaran ECRL dari Tumpat ke Gombak dan projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 18 tahun dengan kos RM47 bilion.

"Ini sudah tentu membabitkan pulangan ekonomi yang rendah dan oleh itu laporan mencadangkan fasa 1 adalah dari Mentakab ke Dungun dan dibina untuk trafik penghantaran sahaja.

"Namun, kita semua tahu apa yang berlaku. Bekas PM sebaliknya menandatangani perjanjian ECRL dengan kos RM66.7 bilion dan memutuskan untuk melaksanakannya sekali gus,” katanya.

Lagipun, dalam dapatan dan cadangan bagi kajian pasaran ECRL yang dilaksanakan oleh SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) pada Jun 2016, responden telah meminta tempoh 24 bulan untuk menyediakan hujahan bidaan, katanya.

"Namun, kerajaan BN memilih untuk memberikan projek itu dalam masa hanya dua bulan kemudiannya pada Ogos 2016 menerusi pemberian terus (dan) ini juga disebalik minat yang ditunjukkan beberapa pembida lain.

"Kenapakan Menteri Kewangan ketika itu - yang juga merupakan bekas PM - bersetuju kepada bayaran pendahuluan 15 peratus kepada CCCC untuk projek ECRL kerana ini tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan kerajaan sentiasa menetapkan bayaran pendahuluan sebanyak 5-10 peratus, yang biasanya dihadkan kepada kontrak melibatkan penyediaan bekalan.

"Malah syarikat-syarikat Bumiputera tidak diberikan keistimewaan seumpama itu. Kenapa tergesa-gesa di pihak bekas PM untuk membayar lebih RM10 bilion kepada CCCC?

"Kita perlu bertanya kepada beliau apa motif beliau di sebalik semua perkara ini," katanya.

Daim, selepas sembilan bulan berusaha keras, berjaya merundingkan semula perjanjian tambahan bagi ECRL dengan harga dikurangkan agak banyak iaitu RM44 bilion, kurang 32.8 peratus atau RM21.5 bilion berbanding harga lama RM65.5 bilion.

Beliau berkata ada kemungkinan harga dapat dikurangkan lagi pada perbincangan teknikal di masa depan antara pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC.

Daim berkata: "Apa yang kita ada sekarang dengan perjanjian ECRL yang baharu adalah ianya telus, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dengan semua fakta dan angka disediakan untuk pengetahuan orang ramai.”

ECRL tidak lagi diselubungi rahsia, dipenuhi kontroversi atau diliputi elemen tidak perlu dan amat mahal, tegasnya.

"Ia kini projek yang berfungsi pada kadar lebih mampu untuk berkhidmat kepada rakyat, yang kepentingan mereka menjadi keutamaan apabila mengusahakan dan meluluskan sebarang inisiatif Kerajaan,”katanya.

Bagi menjawab tuduhan bahawa perjanjian ECRL yang ditambah baik itu bukan perkara besar sebenarnya, Daim berkata, "Saya mendapati tidak berbaloi untuk berhujah dengan mereka yang tidak bercakap secara munasabah dan sebaliknya lebih suka menyebarkan berita palsu, sepertimana yang dilakukan bekas PM kebelakangan ini. Saya lebih suka mendengar pendapat pakar dan berhujah secara logik." - Bernama