Media boleh kritik kerajaan tapi perlu berfakta: Wan Azizah

Dr Wan Azizah bermain karom bersama pengamal media pada Majlis Hi-Tea TPM Bersama Media di Putrajaya. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah bermain karom bersama pengamal media pada Majlis Hi-Tea TPM Bersama Media di Putrajaya. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak media diberikan kebebasan untuk mengkritik prestasi kerajaan hari ini, namun perlulah bersandarkan kepada fakta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sei Wan Azizah Wan Ismail berkata, media perlu memainkan peranan yang sewajarnya dengan menyediakan berita yang lebih seimbang untuk disajikan kepada pembacanya.

“Kita boleh kritik, tapi perlulah lihat kepada fakta. Boleh juga menyoal tapi kita ada kekuatan yang disusuli dengan tanggungjawab.

“Kita memahami bahawa media perlu memikirkan tentang perniagaan dan keuntungan untuk penjualan akhbar, tapi ia harus seimbang dan berfakta,” katanya pada Majlis Hi Tea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri wan Azizah Wan Ismail bersama media di sini.

Pada masa sama, beliau turut memuji dan menghargai sikap media yang berani membongkar beberapa skandal terbesar oleh kerajaan terdahulu termasuklah isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

“Terima kasih juga kepada media kerana memainkan peranan dengan baik apabila berjaya membuat beberapa pendedahan seperti 1MDB.

“Ada yang berani ambil risiko ini di mana ada di kalangan media lesennya ditarik sehingga ramai pekerjanya hilang pekerjaan hanya kerana mahu pastikan rakyat mendapat berita yang benar,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal harapan tinggi rakyat terhadap kerajaan hari ini, beliau berkata, sekiranya media dan kerajaan saling bekerjasama maka ia dapat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Bila kerajaan telah bertukar, harapan rakyat begitu tinggi dan saya pernah di tanya (tentang prestasi) hampir setahun Pakatan Harapan memerintah. Sebelum ini kita fikir sama ada negara beralih dengan selamat dan stabil tapi sebenarnya pengisian yang kita letakkan itu lebih penting.

“Sekiranya kerajaan dan media boleh memahami peranan masing-masing dan menjalinkan hubungan yang rapat, maka harapan dan sumbangan kita terhadap negara akan menjadi lebih baik,” katanya.