Kempen tutup aurat terus diperkasa: Zuraida

ZURAIDA
ZURAIDA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kesedaran menutup aurat akan ditingkatkan di Terengganu walaupun pelbagai pandangan negatif dilemparkan terhadap usaha murni itu.

ADUN Wanita, Zuraida Mohd Noor berkata, tanggapan negatif itu hanya menimbulkan polemik dan mengganggu kefahaman wanita terhadap hukum yang disyariatkan Islam itu.

"Wanita ibarat permata yang mahal harganya, ia perlu dilindungi, bukan untuk di tayang atau diperagakan sewenang-wenangnya.

"Aurat adalah hak yang perlu dihormati. Jangan ada usaha atau kenyataan yang menyimpang dengan apa yang telah diwahyukan dan fitrah manusia serta menjadi ‘pengacau’ yang merencatkan kefahaman bagi wanita Muslim," katanya.

Zuraida berkata, isu tular berkaitan wanita tidak seharusnya dipaksa bertudung rentetan buku tulisan Maryam Lee Abdullah berjudul ‘Unveiling Choice’ dan forum ‘Malay Women & Dehijabing’ (‘Perempuan Melayu & Pembukaan Hijab’) yang berlangsung di Kedai Buku Gerak Budaya, Petaling Jaya, pada 13 April 2019.

"Perkara ini mengejutkan semua pihak dan bertentangan dengan norma agama, adat dan budaya ketimuran yang diamalkan sejak zaman berzaman di negara kita.

"Malah, ia boleh mencetuskan pelbagai polemik, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan wanita secara umumnya," katanya.

Beliau berkata, perintah pemakaian tudung kepada wanita Muslim adalah jelas sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nur ayat 31.

Artikel Berkaitan:

"Usaha memupuk kesedaran menutup aurat wajar ditingkatkan. Misalnya, program Terengganu Hijab Day yang mendapat reaksi positif pelbagai pihak terutama golongan ibu bapa dan wanita.

"Jadi, saya harap tiada lagi suara-suara songsang yang mempertikaikan usaha murni ini dan keharmonian yang telah kian lama kita kecapi dapat dikekalkan. Semoga diberi taufik dan hidayah ALLAH SWT," katanya.

Terdahulu, aktivis, Latheefa Koya menerusi tulisan di laman sosialnya mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung kerana tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.

Dia yang juga seorang peguam dikatakan langsung tidak setuju jika orang Islam dipaksa memakai tudung kerana ia tidak selaras dengan prinsip Islam.

Selain itu, Latheefa bukan sahaja mempertikaikan tanggapan terhadap seorang yang tidak memakai tudung sebagai masuk neraka, murtad dan perempuan jalang malah menyifatkan ia sebagai bentuk pemikiran yang ekstremis.