Jangan acuh tak acuh: Raja Perlis

Tuanku Syed Faizuddin bergambar bersama 40 pelajar Tingkatan Empat dari SMITA Teluk Intan dan MISS Hulu Langat di Galeri DiRaja Arau, semalam.
Tuanku Syed Faizuddin bergambar bersama 40 pelajar Tingkatan Empat dari SMITA Teluk Intan dan MISS Hulu Langat di Galeri DiRaja Arau, semalam.
A
A
A

ARAU - Matlamat dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara itu merupakan kunci kejayaan seseorang dalam apa jua bidang yang diceburi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, begitu juga faktor kecemerlangan murid dalam bidang akademik apabila mereka menunjukkan kesungguhan dalam menuntut ilmu.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, penumpuan 100 peratus terhadap pengajaran oleh guru-guru akan memberikan kefahaman yang lebih jelas.

"Sikap acuh tak acuh atau main-main hanya merugikan diri sendiri. Penumpuan ini amat perlu kerana setiap apa yang diperkatakan merupakan ilmu yang berguna.

"Bak kata pepatah "Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang". Justeru, usaha tegar dalam mencari ilmu perlu dilakukan untuk mencapai matlamat kerana usaha tangga kejayaan," titahnya.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh seramai 40 pelajar Tingkatan Empat bersama lima orang guru pengiring daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin (SMITA) Teluk Intan dan Mutiara Integrated Secondary School (MISS) Hulu Langat di Galeri DiRaja Arau, semalam.

Kedua-dua buah sekolah berkenaan adalah di bawah pengurusan Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia (Al-Nidaa’) yang mana Tuanku Raja Muda Perlis ialah Penaung DiRajanya.

Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada program pengkaderan Al-Nidaa’ dan ianya saban tahun diadakan mengambil sempena program Perkampungan Sunnah (PS6) yang sedang berlangsung pada kali ini dari 19 hingga 21 April 2019 di Masjid Alwi Kangar.

Artikel Berkaitan:

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Pengerusi Al-Nidaa’, Ustaz Sofwan Badrie dan Pengarah Al-Nidaa, Zainuddin Alang Mamat.