Pinjam dua pasukan dari Perak, Kedah: JPJ PP

MOHAMAT JOHARI
MOHAMAT JOHARI
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah meminjam dua pasukan anggota penguat kuasa masing-masing dari JPJ Perak dan Kedah bagi menjalankan operasi jabatan tersebut di negeri ini.

Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor berkata, tindakan itu diambil susulan penahanan puluhan anggota dan pengawai JPJ Pulau Pinang sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan pemandu lori.

Menurutnya, dua pasukan penguatkuasa JPJ Perak dan Kedah yang terdiri daripada 12 anggota itu dipinjamkan sejak Jumaat lalu.

"Benar. Setakat ini, dua pasukan yang terdiri daripada 12 anggotapenguat kuasa JPJ Perak dan Kedah dipinjamkan ke Pulau Pinang untuk membantu kita melancarkan operasi.

"Mereka bertugas di sini sejak Jumaat lalu. Sehubungan itu, operasi harian JPJ Pulau Pinang berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp tadi.

Ditanya sama ada beliau turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan, beliau berkata, sehingga hari ini, tiada panggilan atau arahan meminta beliau memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

"Sehingga pada waktu ini, tiada lagi (panggilan atau arahan). Sekiranya ada, saya sedia untuk memberi kerjasama yang baik kepada SPRM," katanya.

Mohamat juga enggan mengulas lanjut berhubung beberapa spekulasi yang timbul berhubung kes berkenaan selepas penahanan 46 penguatkuasa JPJ Pulau Pinang sejak Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak dapat komen. Tunggu siasatan SPRM," jawabnya ringkas.

Pagi tadi, lima daripada 22 anggota penguatkuasa JPJ Pulau Pinang yang ditahan semalam direman seminggu untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah bermula hari ini.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada pegawai dan anggota JPJ direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri ini.

Semua penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.

Sebelum itu, 23 daripada 24 penguatkuasa JPJ Pulau Pinang yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan keatasnya belum selesai.